Siapa mahu jumpa malaikat?
Dalam aspek gaya bahasa, ini dikatakan sebagai ‘soalan retorika’. Pertanyaan yang diajukan itu sesungguhnya tidak perlu dijawab oleh siapa-siapa. Dalam soalan itu sudah ada jawapan. Dalam ertikata yang lain, soalan dan jawapan terkandung dalam ayat yang sama. Bagi soalan tadi, saya fikir tidak ada orang yang waras akan memberikan jawapan ‘tidak mahu’.
Jika ditanyakan kepada sesiapa yang pernah ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, tidak kira tujuannya untuk menunaikan Rukun Yang Ke-5 atau hanya melaksanakan umrah serta ziarah, maka soalannya kenalah baiki sikit jadi begini: ‘Waktu di sana, pernah jumpa malaikat?’ Sebabnya? Kadangkala ada jemaah yang masih 'kuat aura' haji atau umrahnya, rapuh mulut bercerita tentang lelaki misteri yang datang beribadat sekali. Tujuan buka cerita itu untuk mengatakan betapa bertuahnya dia (jemaah berkenaan) menjadi tetamu Allah yang teristimewa kerana ditemani malaikat ketika di sana!
Tapi sifat soalan yang kedua ini bukan retorika pula. Kerana jawapan tidak terisi dalam soalan itu. Mungkin juga yang bertanya itu akan ditempelak orang lain pula kerana mengungkitkan perkara yang pelik. Itu persoalan berkaitan alam ghaib. Malaikat makhluk suci. Jika bertemu malaikat di Kota Mekah atau Madinah, bermakna orang berkenaan sudah berinteraksi dengan makhluk suci dari alam ghaib! Lantas jika ditanya oleh waris-warah ketemu malaikat atau tidak, jika jawapannya 'ya' maka sahlah jemaah itu termasuk dalam golongan 'tetamu Allah yang teristimewa'.
Sewaktu berbual-bual dengan waris-warah yang bertandang di majlis kesyukuran sekembali kami dari Tanah Suci, ada yang bertanya kepada saya: “Ada peristiwa pelik ketika di sana?” Selepas termenung sejenak, saya memberikan jawapan sebegini: “Ada. Tapi tidak pelik. Saya jumpa malaikat!”
Lima enam orang waris-warah yang mengelilingi meja di bawah khemah mula menaruh minat. Ketara masing-masing menanti kata-kata saya yang seterusnya. Seorang yang lain merapatkan kerusinya, hingga bersentuhan dengan kerusi saya. Ketika sudah duduk kemas-kemas, dia berkata, “Cerita macam ini kita nak dengar. Bukan cerita pelik tentang buruk dan mudharat orang lain.”
Seorang wanita muda baru anak dua, tutor di IPTA segera menyampuk, “Pelik tapi ada ikhtibar. Pelik tapi penuh hikmah. Bertuah betul Haji. Jadi insan pilihan!”
Seorang lelaki awal empat puluhan berdehem sambil membetulkan kopiah buatan Bangladesh (ole-ole yang saya hadiahkan kepadanya). Walapun bernada rendah, garau suaranya dan satu-satu pula perkataan terloncat, menyebabkan orang lain memaku tumpuan kepada dia. “Cerita tentang malaikat, bukan cerita pelik. Apa yang peliknya kalau itu memang dah termasuk dalam Rukun Iman?”
Wanita muda tutor IPTA nampak tidak puas hati. Dia menyampuk lagi. “Percaya dengan jumpa sendiri berbeza, bang! Memang kita wajib percaya perkara ghaib. Tapi jika sudah jumpa dengan makhluk dari alam ghaib, itu dah jadi perkara pelik!”
Setelah semuanya diam, saya memulakan bicara.
Kisah ini berlaku sewaktu saya menunaikan umrah pada tahun 2009. Sudah tiga hari di Kota Suci Mekah, saya masih belum dapat mengucup Hajarul-Aswad. Hajat memang menggunung kerana niat sudah terpasang sebelum terbang dari Tanah Bonda lagi.
Sejak tawaf kali pertama, sudah dapat melihat manusia yang pelbagai rupa bentuk dan warna kulit berebut habis-habisan untuk mengucup batu dari syurga itu. Kadangkala timbul rasa bimbang tidak akan dapat berbuat demikian kerana ramainya manusia yang berebutan di situ. Tapi rasa ingin berbuat demikian mendadak kemuncaknya apabila Yang Tersayang ceria sungguh membawa perkhabaran gembira tentang kejayaan mengucup batu hitam dombaan seluruh jemaah, selepas sehari JENOL (pemuda pencinta masjid) riang memberitau dia telah berjaya.
Sugul sungguh rasa di hati kerana semua rakan sebilik (Yang Tersayang dan Jenol) sudah berjaya mencapai cita-cita setiap jemaah. Lantas saya memasang tekad mahu berjaya seperti mereka jua.
Pada suatu pagi, selepas selesai tawaf, saya segera masuk barisan panjang di tepi Kaabah. Sebahagian jemaah begitu sabar beratur menunggu giliran sampai ke penjuru Hajarul-Aswad. Sebahagian besarnya pula bertolak-tolakan, siku-menyiku, tarik-menarik mahu mendahului yang lain untuk berdiri paling depan, dan mendapat lebih besar peluang untuk mengucup batu hitam penuh bersejarah itu.
Ketika makin hampir, dan jelas perebutan hebat di depan Hajarul-Aswad, terfikir pula betapa sukarnya untuk saya berjaya sampai ke situ jika hanya beratur dalam ketertiban. Seorang polis yang mengawal di situ hanya berdiri – memerhati sambil kedua-dua tangan berpegang pada tali yang agak kasar. Ugh, ini bukannya beratur nak masuk ke stadium atau nak bayar barangan di kaunter pasaraya. Kedua-dua itu tiada siapa nak berebut pun. Kalau berebut juga, orang akan cop kita sewel!
Kerana sudah terpedaya dengan bisikan itu, maka saya keluar dari barisan tepi Kaabah, dan menyertai perebutan yang berlaku. Segera mencelah - menepis dan menolak orang lain juga! Mesti buat begitu, jika tidak boleh sesak nafas dihimpit, dan bisa terhumban akibat asakan yang kuat.
Kali ini, saya amat yakin akan dapat mencium batu dari syurga itu. Saya sudah dapat melihat dengan jelas seluruh fremnya yang bujur dan warnanya yang hitam. Ombak himpitan datang dari belakang begitu kuat. Itu yang saya mahu. Saya terdorong lebih ke depan. Hajarul-Aswad sudah bersedia untuk menerima kucupan daripada seorang jejaka Melayu.
Sewaktu kedua-dua tangan menggapai, tiba-tiba datang suatu tolakan lebih kuat dari depan. Rasa macam melambung dibuatnya. Nasib baik saya tidak jatuh. Tapi serban sudah terburai, kopiah sudah terbang entah ke mana. Hampa sungguh.
Kerana sudah bertekad mahu melakukannya pagi ini juga, saya menyelit masuk ke dalam barisan tepi Kabaah pula. Tidak peduli lagi kepada jelingan entah daripada bangsa apa dan bebelan dalam bahasa asing.
Ketika saya melilit serban kemas-kemas, ada suara yang menyapa: “Haji, mahu kucup Hajarul-Aswad? Ayuh, ikut sini!”
Terlintas dalam hati: ‘Apakah ini pertolongan daripada Allah. Apakah Allah sudah mengirimkan malaikatnya, menjelmakan diri untuk membantu saya?’
Sebenarnya saya sudah tergamam. Saya tidak usaha langsung untuk melepaskan cekakan di pergelangan tangan. Saya ikut terus dua pemuda yang berbaju Melayu, bersongkok dan berseluar slek. Tegap sekali susuk tubuh kedua-duanya.
Tidak sampai sepuluh minit, tanpa susah payah (dihimpit, disiku dan ditolak), tiba-tiba saya sudah betul-betul berdiri di depan Hajarul-Aswad. Tiada halangan langsung. Laluan luas terbentang.
“Cepat, Haji! Kucup! Kucup!” Suara pemuda itu agak keras, diikuti tolakan telapak tangannya agak kuat di belakang kepala saya.
Subhanallah. Alhamdulillah. Hajat saya tertunai. Datang niat mahu segera solat sunat di belakang Makam Ibrahim. Mahu lekas-lekas ke tepi tembok Masjidilharam, meneguk air baraqah. Mahu cepat-cepat pulang ke Hotel Abeer Garden. Mahu kongsi gembira dengan Yang Tersayang. Jenol tentu tiada di bilik. Lepas sarapan, rehat sekejap, dia akan pergi lagi ke Masjidilharam, iktikaf hingga waktu Zohor.
Sedang saya mencelah arus jemaah yang tawaf, dua pemuda tadi berjalan beriringan dengan saya.
‘Eh, malaikat dah jadi bodyguard pula?’ ingatkan sudah selesai tugas, terus hilang terbang ke langit!’
Tidak jadi saya menunaikan solat sunat di belakang Makam Ibrahim. Tidak tertunai niat mahu teguk air zam-zam. Semuanya terbatal. Saya mahu lekas-lekas melangkah pergi dari medan tawaf, mahu cepat-cepat keluar dari Masjidilharam.
Barulah saya tahu kedudukan sebenarnya. Kedua-dua pemuda Indon yang berbadan tegap itu mendesak saya membayar sebanyak 300 rial. Rupa-rupanya, mereka mengambil upah ‘menolong’ jemaah mengucup Hajarul-Aswad!
“Kena bayar tinggi, Haji! kerjanya sulit amat! Sengal-sengal badan semuanya!”
Saya berkeras tidak mahu membayar apa-apa. Saya rasa sudah tertipu. Saya tinggikan suara juga, mengatakan bukan saya yang minta, mereka yang menawarkan ‘pertolongan’. Keadaan jadi rumit. Apabila saya berikan alasan tidak punyai duit sebanyak itu, kedua-duanya mendesak mahu mengikut saya pulang ke hotel! Setelah berkira hitung hampir dua puluh minit, akhirnya mereka bersetuju dengan ‘harga’ seratus rial yang saya tawarkan. Kemudian cepat sekali mereka hilang dalam kesesakan jemaah yang lalu-lalang.
Sehari selepas kejadian itu, ketika tawaf, sekali lagi saya disapa pemuda Indon juga. Manis sekali menawarkan bantuan untuk mengucup Hajarul-Aswad. Sekilas pandang, saya yakin ini bukan pemuda semalam. Saya menjawab ringkas tanpa memandang ke wajahnya: “Saya dah kucup pun!”
Ketika meneruskan tawaf itu, rasa terkilan menguasai diri. Walaupun saya berjaya mengucup batu hitam dari syurga itu, tapi tidak terfikir terpaksa ‘mengupah’ bantuan orang lain. Ingatkan betul-betul malaikat yang membantu. Rupa-rupanya yang datang dua orang Indon menjadi ‘Malaikat pura-pura’! Kena upah lagi, pak!
Permisi. Wassalam.
foto: di sudut Hajaraswad - seorang polis dan ratusan ribu jemaah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan