Karya
Khamis, 7 Julai 2011
Memori Haji 2010: “Nawaitu yang melencung”
Dengan izin Yang Maha Esa, kami berpeluang menyertai rombongan paling awal tinggal di Kota Suci Madinah selama lapan hari, menaiki penerbangan haji yang kedua terus dari KLIA. Dua hari pertama tidak menjadi masalah langsung untuk beribadat di Raudhah. Selepas itu, hingga hari kelima kesesakan mula berlaku. Perebutan untuk mendapatkan ruang solat, duduk zikir dan tekun mengaji di Raudhah amat ketara. Malahan untuk ziarah makam Kekasih Allah juga sudah makin sukar.
Kerana berfikir betapa dua hari pertama berada di Kota Madinah saya sudah diberikan ruang oleh Allah untuk tahajud, zikir dan solat Subuh di Raudhah, datang jua bisikan dalam hati supaya tidak bersusah payah lagi berhimpitan untuk masuk ke Taman Syurga itu. Beri saja peluang untuk orang lain. Sudah cukup untuk kita!
Masuk hari keenam terasa benar untuk solat lagi di dalam raudhah. Jika tidak boleh solat Zohor, saya merancang untuk bersolat sunat sebaik sahaja selesai berjemaah dan solat jenazah. Ketika meneguk air zam-zam saya memanjatkan doa: “Ya, Allah, berikan aku peluang untuk bersolat, zikir dan berdoa di raudhah-Mu. Ameen.”
Saya solat berhampiran dengan ruang tengah yang diteduhi payung besar (boleh buka katup) dalam Masjid Nabi. Dari sudut itu, masih jelas ternampak tiang-tiang Raudhah, mimbar Nabi dan dinding makam RasulAllah. Malahan kubah hijau yang menjadi penanda rumah Kekasih Allah, masih boleh dilihat sebahagiannya. Hati berkata, “Ugh, umpama adat orang berkasih, barangkali ramai jemaah tidak dapat mendekati makam RasulAllah, nampak bumbung rumahnya sudah bisa memuaskan hati!”
Hari itu, hati saya terasa bersungguh-sungguh benar mahu solat di Raudhah. Perasaan ingin ke situ selepas solat Zohor memang membuak-buak.
Selesai solat Zohor dan sunat jenazah, saya bergegas mendekati Raudhah. Ketika melihat jemaah berpusu-pusu, bertolakan dan berhimpitan untuk masuk ke Taman Syurga itu, datang pula bisikan yang lain: ‘Ah, berikan peluang kepada orang lain. Nikmat dan rahmat masuk ke Raudhah untuk orang lain juga. Kenapa perlu berhimpitan dan berebut-rebut?’
Saya sudah terlupa doa dan janji kepada Ilahi ketika meneguk air suci zam-zam sebelum solat Zohor. Akhirnya, saya ambil keputusan pulang ke hotel. Jam baru pukul satu. Asar masuk setengah jam lepas tiga. Sedap juga jika dapat mengaji di hotel, dalam nyaman aircon, dan bersenang-senang di atas katil pula! Berdetak juga di dalam hati betapa saya sudah memesongkan nawaitu sendiri! Rasa khuatir timbul jua. Tapi antara bisikan untuk masuk Raudhah dipeteh mudah oleh desakan suruh balik segera ke Hotel Movenpick yang letaknya bersebelahan pagar Masjid Nabi. Maka saya pun bergegas menapak laluan ke pintu Umar al-Khatab. Selepas meneguk air zam-zam, cepat-cepat saya mencapai selipar di rak. Niat mahu solat sunat, berdoa di Raudhah dan menziarah Makam Rasul sudah lesap. Bayangan keselesaan bersantai di bilik hotel, makan nasi sambil menonton televisyen menggantikan niat untuk mengaji sementara menunggu azan Asar.
Sampai di Hotel Movenpick, keadaan di depan lif agak sesak. Ramai jemaah yang pulang untuk makan tengahari. Setelah agak lama menunggu, saya berhasil meloloskan diri memasuki lif yang sudah sarat. Ketika lampu amaran lebih muatan berkelipan, seorang lelaki tua bergegas masuk, walaupun cuba dihadang dan ditegur beberapa jemaah. Dia buat-buat tidak tahu sahaja.
‘Mungkin telinganya tak berapa dengar!’ bisik seseorang yang berdiri di sebelah saya sambil muncungkan mulutnya ke arah telinga lelaki tua yang tersumbat dengan gajet bentuk koma warna putih.
Seorang pekerja hotel yang terhimpit di tengah-tengah membebel, sambil merengus terus keluar dari lif.
Apabila pintu terkatup, lif tidak bergerak. Tidak naik sedikit pun. Malahan lif gelongsor turun mendadak dalam kira-kira enam inci. Tiba-tiba lif itu berhenti terus. Tidak bergerak langsung walaupun jemaah terdepan menekan butang berkali-kali. Kemudian semburan aircon pula turut terhenti. Dalam kira-kira empat belas orang dalam mesin angkut itu, saya anggar sembilan orang perempuan. Selang dua tiga minit lif masih jem, rasa khuatir mulai terzahir.
Ada jemaah yang mula menyindir: “Itulah, tadinya disuruh keluar tak mahu. Dah lebih orang. Lif tak mahu bergerak!”
Rasa-rasanya sindiran itu boleh mewakili rasa hati jemaah yang lain.
“Mujur ada orang lelaki. Jika semua perempuan, teruk kita,” getus seorang jemaah wanita yang lain. Nampaknya rasa panik sudah mula membenih.
Seorang jemaah muda, saya anggar kira-kira awal tiga puluh, berdiri paling hampir dengan panel, menekan butang kecemasan berkali-kali. Dia cuba pula bercakap melalui intercom. Semuanya tidak menjadi. Saya pula, dalam keadaan berhimpit itu tidak dapat menggerakkan tangan untuk mengeluarkan spek dalam poket seluar. Jika dapat pun tak guna kerana telefon belum ditambah kredit.
Dengan nada rendah saya menyarankan, “Cuba telefon nombor Tabung Haji yang ada di gelang kita!”
Pemuda yang duduk paling hampir dengan panel butang lif mendengus. “Mana boleh! Itu nombor Tabung Haji di Mekah!”
Saya terdiam. Terasa hangat telinga ditempelak begitu.
Kemudian pemuda itu bercakap pula melalui telefonnya. Kasar sekali nadanya. “Hello, jangan banyak soal! intercom rosak. Telefon sahaja receptionis! Abang terperangkap ni! nak bernafas susah!” Melihat gaya dia ‘tengking dan perintah’ begitu, saya jangka tentunya yang dijerkah di hujung talian ialah isterinya!
Panik dan ketegangan sudah menguasai lif. Mulai timbul kerimasan, kemarahan dan ketakutan. Kira-kira sepuluh minit, amat terasa betapa paras keresahan mengembang dan tahap kesabaran mengecut. Suara-suara yang salah-menyalahi orang lain mulai timbul semula. Jemaah wanita yang berhimpitan dengan saya nampaknya sungguh khuatir sekali. Pemuda yang berdiri dekat panel lif masih cuba menggunakan intercom. Tidak Berjaya. Dia mengetuk kuat-kuat pintu lif. Berdegang-degung memekak telinga kerana perbuatannya itu dituruti jemaah wanita dan lelaki yang berdiri di depan pintu lif. Jemaah wanita yang bersandar di dinding dan berdiri di tengah-tengah sudah mengeluh berkali-kali.
Saya rasa sudah sampai masanya tidak perlu berdiam diri lagi. Lantas saya meninggikan suara, “Kita mohon ampun kepada Allah. Mohon pertolongan segera daripadaNya. Ya, Allah ampunkanlah dosa-dosa kami. Tolonglah kami! lepaskan kami daripada kesusahan ini. Keluarkan kami dari dalam lif ini.” Saya pun mula beristighfar. Terdiam semua jemaah yang lain. Cuma kedengaran nada rendah beberapa jemaah wanita turut beristighfar dengan saya. Tidak pasti pula pemuda bengkeng berdiri dekat penal lif itu istighfar atau tidak.
Tidak sampai lima minit, intercom berbunyi. Suara lelaki, bercakap inggeris dalam telor Arab bertanyakan situasi kami. Cepat sekali tindakan susulan staf hotel, pintu lif terbuka dengan paksaan. Dua orang lelaki arab beruniform, seorang daripadanya memegang besi cangkuk menguak pintu lif. Kedua-duanya nampak mengeraskan badan cuba menggalangi orang lain (jemaah kita jua) yang terjenguk-jenguk mahu melihat musibah yang menimpa kami!
Ketika Azan asar dilaungkan, saya sudah separuh memasuki laman masjid Nabawi. Terlintas dalam benak, betapa kesusahan terperangkap di dalam lif, bukan salah siapa-siapa. Tiada orang lain yang salah, kecuali saya. Saya yang berdosa kerana melencung niat. Mula-mula mohon pertolongan Ilahi mahu ruang dan kelegaan beribadah di Raudhah selepas Zohor, tapi melencung niat mahu bersantai, makan sambil menonton televisyen di bilik hotel.
lantas ingatan dipahat dalam minda sendiri: jika sudah mohon pertolongan daripada Allah, jangan sekali-kali berdolak-dalih pula untuk melakukan sesuatu yang lain. Jangan minta sesuatu yang khusus, kemudian dipesongkan niat pula. Saya yang silap. Saya seolah-olah bermain-main dengan doa. Bagi saya, bukan lelaki tua yang naik lif paling kemudian yang menyebabkan lif terlekat. Sayalah orangnya!
Ya Allah, Tuhan seru sekalian alam, Engkau ampuni dosa hambaMu ini. Tiada sebarang upaya kecuali dengan kehendakMu jua. Ameen.
Permisi. Wassalam.
foto 1: tiada kesesakan di Raudhah.
foto 2: Masjid Nabawi masih lengang ketika minggu awal kami di Kota Madinah.
foto 3: bakal haji Malaysia tiba di Lapangan terbang Madinah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan