Malam Sabtu lepas saya menghadiri ceramah memperingati Israk Mikraj - peristiwa kudus-suci kerasulan Muhammad SAW. Ceramah disampaikan oleh uztaz jemputan dari sebuah IPTA di Bandar Baru Bangi itu menarik ramai anak khariah. Bahagian solat wanita yang biasa kecut dan rongak saja, malam ini penuh (tapi tak ‘rumbu’: perkataan Ganu ini bermaksud melimpah). Dewan solat utama ada empat saf - bercampur anak kecil, remaja, pemuda, dewasa dan warga emas. Intipati ceramah yang disampaikan Uztaz (janggut sejemput, muka bersih, di dahinya ada dua calit hitam) berkenaan ibadah solat. Katanya, solat merupakan satu-satunya ibadah yang diperoleh oleh Rasulullah secara langsung daripada Yang Maha Mencipta. Dalil aqli dan naqli diselitkan dalam ceramah kira-kira sejam itu. Malahan uztaz yang kacak juga wajahnya ini, turut menyelitkan beberapa kisah semasa yang begitu menarik, dan boleh dijadikan ikhtibar dan peringatan untuk kita. Ada satu kisah yang sangat menarik perhatian saya.
Seorang alim (tokguru) dengan bantuan insan yang faham dan bersimpati berjaya mendirikan sebuah surau baru yang selesa. Sebagaimana lazim perlakuannya, tiap sebelum Subuh, orang alim ini akan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Malangnya, amalannya yang amat baik itu rupa-rupanya tidak digemari segelintir penduduk yang menjadi anak khariahnya. Seorang daripadanya (mungkin yang paling gedebe), telah bersemuka dengan Tokguru yang berkenaan menyatakan bantahan terhadap amalan membaca al-Quran sebelum Subuh. Segala macam ayat-ayat yang tidak elok terloncatlah daripada lelaki pencen yang hakikatnya tidak pernah pun menjejakkan kaki ke surau itu!
Tokguru berkenaan, sesuai dengan peribadinya, dikisahkan tidak menjawab sepatah pun segala semburan daripada lelaki berkenaan. Dia hanya tersenyum dan istighfar. Esoknya, bacaan al-Quran masih berkemundang sebelum masuk waktu Subuh, tetapi volume pembesar suara sudah direndahkan.
Tidak sampai sebulan selepas lelaki pencen yang gedebe konfrontasi dengan Tokguru, tersebar cerita dia sakit. Keadaannya sudah tenat. Kemudian datanglah waris lelaki berkenaan ke surau untuk berjumpa Tokguru. Bagi pihak lelaki gedebe yang tenat, maka salam disampaikan dan maaf dipohon. Tokguru mengambil keputusan menziarah lelaki gedebe yang dikatakan disahkan doctor tidak dapat dikenalpasti sakitnya, dan tidak terkesan punca penyakitnya itu. Malahan doctor yang merawat sudah memberikan bayangan: tiada harapan untuk sumbuh. Buat wasiat lagi bagus!
Ketika Tokguru bersila berhampiran kepalanya, si lelaki gedeba menyatakan permintaan dalam nada apologatik: “Tolong solat hajat untuk saya. Doalah supaya saya sembuh. Maafkan salah silap saya!”
Tokguru yang budiman dan beriman dengan ikhlas memenuhi permintaan lelaki yang tenat itu. Dengan izin Yang Maha Berkuasa, tidak sampai seminggu lelaki itu sembuh. Segar-bugar seperti sebelumnya.
Keinsafan terpancar melalui perubahan sikap dan tingkah-laku. Dia menjadi orang yang patuh ke surau. Berdirinya tiada lain, dalam saf paling hadapan jua! Malahan kerap pula dia menjadi tukang azan! Cuma sikap gedebe jua yang tidak hilang. Walaupun di surau itu ada bilal bertugas, si lelaki gedebe tadi kadang-kadang tidak hiraukan orang lain. Dia saja yang mahu melaungkan azan. Hatta sewaktu bilal sudah melangkah menuju ke mikrofon pun, dia masih boleh memintas. Dia mahu jadi tukang azan tanpa mengira tugasan yang sudah dimandatkan kepada orang lain.
Selepas tiga minggu, dikisahkan lagi, ketika azan Maghrib sedang berkumandang, jemaah yangh bersila di beranda berkerut dahi saling berpandangan. Sebuah motosikal kuat sekali breng-brengnya melintasi pagar surau. Penunggangnya seorang lelaki memakai t-shirt tiada lengan, berseluar pendek nampak kepala lutut, diboncengi seorang kanak-kanak lelaki yang nampak seronok sekali.
Jemaah yang duduk-duduk di beranda saling berbisik. Kali ini, tiada perebutan untuk melaungkan azan. Kerana yang menunggang motosikal, berseluar pendek, memakai t-shirt tiada lengan itu ialah lelaki gedebe yang pernah suatu masa membantah bacaan al-Quran sebelum Subuh.
Lelaki itulah, yang pernah terlantar di ambang maut diserang penyakit misteri. Lelaki itulah yang sebelum ini berebutan dengan bilal mahu azan apabila masuk waktu – tidak kira Maghrib, Isyak atau waktu mana pun!
Permisi. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan