Karya

Karya

Sabtu, 30 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “BAYANGAN CINTA KAABAH”

Ketiga-tiga jemaah wanita Tanah Bonda bergegas mencelah arus tawaf. Dua yang lebih muda – seorang berjilbat kelabu, kulitnya hitam manis, dan rakannya yang putih kuning berjilbat hitam. Kedua-dua wanita usia pertengahan empat puluh itu menjadi pengapit, sekaligus pendinding seorang lagi wanita berpakaian serba putih yang usianya awal lima puluh.

Dari gaya berjalannya yang sedikit teragak-agak, dan kerutan di wajah, wanita berjubah putih itu seperti dalam campuran kesakitan dan kebimbangan. Ketika sudah melepasi arus tawaf, kelihatan wanita berjilbat kelabu yang kini jadi kepala, cuba merentasi arus tawaf sambil terjenguk-jenguk mencari tempat yang agak selesa. Tekadnya, dia seboleh-bolehnya mahu mencari sudut yang sesuai, betul-betul nampak Makam Ibrahim ketika bersolat.

Sewaktu ketiga-tiga sudah mendapat ruang yang dihajati, dalam barisan bercampuran jantina jemaah pelbagai bangsa, wanita berjubah putih memegang kedua-dua tangan pengapitnya yang bertudung kelabu seraya berbisik: “Mastura, terima kasih banyak-banyak. Cuma kakak rasa sedih sangat. Terpisah daripada Abang Razi. Kakak tidak mampu nak tolak kerusinya. Kakak harap dia memahami. Kakak tidak tinggalkan dia. Kakak harap dia maafkan kakak.” Air jernih segera menuruni pipi. Meleleh melepasi dagunya dan menitik di jilbat.

“Kak Jah jangan bimbang. Kamil tidak akan tinggalkan...”Mastura terasa suaranya sudah lemas. Dia tidak mampu habiskan ayatt itu. Dia tidak terdaya meneruskan. Sebenarnya dia sedang menahan dirinya. Dia sebak sebenarnya. Jika dia paksa dirinya meneruskan kata-kata, dia tahu air matanya akan tumpah jua. Dia mesti menampakkan dirinya lebih kuat daripada Kak Jah.

Wanita jubah putih paling akhir selesai solat. Selepas salam, dia terus berdiri. Dia mahu berdoa sambil melihat Baitulllah. Suaranya amat perlahan. Berbisik pada tahap paling rendah. Dia sengaja berbuat begitu. Dia tidak mahu sesiapa yang lain mendengar rasa hatinya. Dia hanya mahu berbisik kepada Tuhan sahaja, di depan Baitullah! Dia Yang Maha Mendengar. Dia Yang Maha Mengetahui.

Baru separuh menyapu mukanya, hampir menjerit dia. Seorang lelaki usia pertengahan lima puluh, yang duduk di atas kerusi roda memegang dan menggoyang sikunya. Wajah yang bersih itu menguntumkan senyum. Kak Jah membalas. Tapi senyuman yang bercampuran sedih dengan gembira. Air mata segera tergenang di kelopak. Dia sangat terharu melihat suaminya, Abang Razi, yang kelihatan tenang sekali duduk di kerusi roda. Kamil, lelaki tegap janggut sejemput, berdiri tegak di belakang kerusi roda itu. Siap sedia lakunya, seperti soldadu yang setia menanti arahan baru dari sang ketua.

Saya tidak begitu mengenali Kak Pah dan Abang Razi. Sewaktu di Madinah, kebetulan saja saya berjumpa dengan pasangan ini yang rupa-rupanya tinggal tidak jauh dari taman kediaman saya. Kira-kira lima lima minit berkereta. Kerana taman yang berlainan, dan surau juga berbeza, kami tidak pernah saling mengenali sebelum ini.

Sewaktu bertemu pertama kali di Madinah itu, saya dalam perjalanan pulang dari Medan Selera tidak jauh dari Movenpick. Kedua-duanya pula sedang berehat di tepi kaki lima. Kak Pah dan Abang Razi, tentu agak sulit ke situ. Kerana si suami berkerusi roda, lumpuh sebelah badan. Manakala si isteri pula, ke mana-mana mesti membawa ‘uncang’. Dia mengidap kanser usus! Pada pertemuan singkat di Madinah itu, saya menawarkan khidmat untuk membeli nasi beryani Arab di medan selera (mereka tidak pernah sampai ke situ walaupun sudah seminggu di Madinah). Abang Razi yang mudah mesra itu menolak dengan baik. Barangkali dia segan kerana masih terlalu baru dengan saya.

Mengikut cerita Yang Tersayang, kanser usus yang dihidapi Kak sudah sampai tahap empat. Kedatangannya ke Tanah Suci tidak dipersetujui oleh doktor pakar. Sang Tabib mencadangkan penangguhan ke tahun berikutnya demi perawatan yang lebih teliti dan intensif.

Tapi kedua-dua insan ini berkeras mahu menyambut segera jemputan istimewa daripada Yang Maha Esa. Mereka mahu berdoa kepada Yang Maha Agung di depan Baitullah. Saya yakin, mereka (seperti jutaan jemaah yang lain) mahu rasa nikmat beribadah ‘Dalam Bayangan Cinta Kaabah’! Lagipun, mereka belum pernah sampai di bumi penuh baraqah ini.

Saya mendapat tahu, pada mulanya mereka merancang untuk membawa anak lelaki yang sulung (usia dua puluhan) ke Tanah Suci. Turut menunaikan Haji sambil menjadi pembantu kepada Abang Razi. Tapi permohonan itu ditolak pihak berwajib. Walaupun kondisi kesihatan tidak bagus, dan tiada pula waris yang menemani, Abang Razi dan Kak Jah sudah bertekad tidak akan menangguhkan pemergian ke Tanah Suci.

Tuhan Maha Kaya. Tuhan Maha Agung. Tuhan Maha Perkasa. Tiada upaya kita, melainkan dengan kehendak-Nya jua terjadi sesuatu. Qada’ dan Qadar manusia Allah yang menentukan. Kita pasrah dan tawakal kepada-Nya.

Di Kota Suci Madinah, mereka ditemukan dengan sepasang insan yang sangat baik hati, budiman dan beriman – Kamil dan Mastura. Merekalah yang sangat banyak membantu Kak Jah dan Abang Razi dalam segala macam urusan – ibadah dan perjalanan hidup harian. Kamil tinggal sebilik dengan Abang Razi. Mastura pula menginap di bilik yang sama dengan Kak Pak. Di Madinah, jemaah muassasah tinggal sebilik bersama tiga rakan yang lain.

Hubungan erat kedua-dua pasangan ini di Kota Suci Madinah, berterusan di Kota Suci Mekah juga. Sekali-sekala saya terserempak Kak Pah dan Abang Razi di lobi. Kadangkala Kamil dan Mastura tiada bersama mereka. Saya difahami, bukan Kamil dan Mastura yang tidak sudi membantu atau menemani, tetapi Kak Pah dan Abang Razi yang mahukan begitu. Katanya tidak mahu sentiasa membebankan Kamil dan Mastura.

Suatu hari saya sempat berbual-bual lama sikit, ketika sama-sama menunggu giliran di Farmasi TH. Abang Razi nampak teruja sekali ketika saya bercerita tentang kesedapan makan roti canai cecah kari kambing. Rupa-rupanya mereka tidak pernah singgah di restoran yang saya maksudkan.

Tanpa permisi, tidak memberitau apa-apa, dan tidak mempedulikan nombor giliran untuk ambil ubat, saya bergegas ke Restoran Watani. Letaknya kira-kira tiga ratus meter dari Hotel Janadriyah. Restoran kegemaran Yang Tersayang, yang selalunya berselera sangat dengan nasi bukhari ayam panggang di situ.

Ketika saya kembali, kedua-duanya sedang menonton di ruang rehat. Saya hulurkan dua bungkus roti canai, kuah kari kambing dan dalca kepada Abang Razi. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih, dan mendesak saya menyertainya.

Saya menolak dengan alasan mahu ke farmasi semula. Sebelum mohon permisi, saya cuba mengusik: “Saya tak nak ganggu. Hilang romantiknya!”

Permisi. Wassalam.

foto 1: Kerusi-kerusi roda parking di luar Masjidilharam. Boleh disewa dengan ‘tukang tolaknya’ sekali untuk tawaf dan saie. Di sebelah Hotel Janadriyah, ada juga pemuda dan wanita Indon yang menawarkan servis serupa.
foto 2: Farmasi TH di Hotel Janadriyah.

‘ANAK DARA’ YANG BAGUS, dan PERTEMUAN WARIS-WARAH

(nota awal: Salam Ramadhan untuk kenalan di alam siber. Kali ini saya pos catatan sewaktu mastautin agak lama di England. Kerana kita di ambang bulan penuh kemuliaan itu, pos yang dipaparkan ini adalah pengalaman menyambut Ramadhan di Pulau Bekas Empayar itu. Moga kita beroleh manfaat daripadanya.)


PUKUL TIGA PETANG. HARI KEDUA RAMADHAN. Atas jemputan saudara Ahmad Daud, kami sekeluarga berkunjung ke rumahnya di Stafford. Satu daripada sembilan daerah yang terdapat dalam wilayah Staffordshire, Stafford terletak di antara Stoke-on-Trent dengan Birmingham. Jaraknya kira-kira 20km dari rumah kami di Cobridge. Di sini terdapat sebuah IPT, Staffordshire University (SU). Ahmad Daud asalnya dari Kota Singa, sedang mengaji PhD di universiti berkenaan dalam bidang ICT. Pemuda dari seberang Selat Tebrau ini mendapat ijazah sarjana daripada universiti yang sama. Atas kecemerlangan akademik dan kepakaran dalam bidangnya, pengajian kedoktoran Ahmad ditaja SU. Isterinya bernama Fazidah. Pasangan sama molek ini punya dua anak lelaki - Ilias dan Irshad. Keluarga Ahmad menghuni di dalam kawasan kampus kerana di samping mengaji di SU, dia juga bertugas sebagai penyelia asrama.

Di kampus SU terdapat tujuh pelajar Melayu. Lima pemuda dari Malaysia dan sepasang teruna dara rakyat Brunei yang mengikuti pengajian ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ICT. Enam daripadanya: Ali, Shamsul, Ariffin, Mohammad, Nizam dan Elfi (dua yang terakhir itu pemuda-pemudi Brunei) turut menghadiri majlis berbuka di rumah Ahmad Daud. Yang memenuhi undangan bersama keluarga masing-masing memakmurkan majlis ialah Dr Suhaimi dari Lancaster; Dr Azrif dari Manchester; Dr Salleh, Redzuan dan saya dari Stoke. Hadir sama ialah saudara Faizal, bio-chemist yang bekerja dengan syarikat British di Seoul; dan Zul Faisal anak bujangan, rambut gondrong, sudah punya tunang, yang kini bekerja di sebuah syarikat berasaskan ICT di sini.

Di ambang waktu berbuka, muncul Abdullah, mahasiswa dari Oman yang mengaji kejuruteraan. Campur semua itu (termasuk Ahmad Daud dan Fazidah), orang dewasa berjumlah dua puluh satu. Yang membawa ceria dan memeriahkan suasana ialah budak-budak kecil besar lelaki-perempuan seramai tiga belas (Ilias, Irshad, Syaimaa, Syakirah, Sakinah, Mustapha Akil, Muhaimin, Mustaqim, Izat, Azim, Sara, Aiman dan Imah).

Berbuka, berjemaah Maghrib, bertahlil dan bertarawih di common room yang boleh memuatkan seratus orang sekaligus, mewarnakan pertemuan itu persis suasana malam-malam Ramadhan yang lazim di Tanah Bonda. Segera meminggir rasa terpinggir di perantauan. Kemesraan yang terjalin dan kemeriahan yang hadir lantas merenjiskan kebahagiaan yang terasa ketika menyambut Ramadhan di surau, masjid dan rumah sanak-saudara, rakan-taulan di Kajang, Cheras, USJ, Bangi, Padang Paloh dan Pulau Musang.

Budak-budak dengan gelagatnya - berlari, berkejaran, menyepak bola, bergurauan, menangis, berkelahi, makan, bersolat, merengek, mengancum. Ceria dunia anak-anak yang mencampur-adukkan permainan dan kerja ibadat. Ah, kita sewaktu usia begitu, rasanya tidaklah begitu berbeza lakunya. Yang terasa sedikit kehilangan bagi anak-anak mungkin ketiadaan dentuman mercun yang menggamatkan persekitaran. Di sini bermain mercun - sebutlah jenis apa jua: bom, roket, papan, lidi - meriahnya ketika dua minggu sebelum malam Bonfire Night pada 5 November. Selepas tarikh itu, malam Musim Luruh di Cobridge sejuk-sepi.

Bagi anak-anak, berpuasa tidaklah menjadi masalah. Tidaklah letih lesu jadinya. Barangkali keadaan cuaca sekarang yang membuatkan mereka tidak begitu haus atau berasa terlalu lapar. Cuaca lazimnya mendung. Hujan turun tidak menentu masa dan harinya. Mentari yang memancar sesekali itu pula perit panasnya tidak terasa, terbungkus dek dingin dan sejuk Musim Luruh. Tambahan pula jangka waktu berpuasa tidak begitu panjang. Imsak bermula pukul enam setengah, Maghrib masuk pukul empat. Anak-anak pulang dari sekolah jam tiga lima belas petang, lantas mereka tidak menunggu lama untuk berbuka.

Empat hari sebelum mula Ramadhan, saya mendapat surat daripada Mr Orme, Head Teacher St Peter Primary School, Cobridge. Surat tersebut ditujukan secara umumnya kepada ibu bapa Muslim. Intipatinya meminta kepastian daripada ibu bapa sama ada memberikan kebenaran atau sebaliknya kepada anak-anak yang bersekolah di tahun empat, lima dan enam berpuasa sepanjang Ramadhan. Pihak sekolah menyatakan, murid-murid yang berpuasa akan ditempatkan dalam kelas berasingan sewaktu makan tengah hari, memberikan peluang mereka berehat dan bersembahyang. Surat itu disertai keratan untuk dijawab oleh ibu bapa.

Maksudnya, dengan memberikan ‘kebenaran berpuasa’ dan menurunkan tanda tangan di keratan berkenaan, maka ia akan mengesahkan ‘kepuasaan’ anak-anak semasa di sekolah. Jika tiada jawapan daripada ibu bapa, dan didapati anak-anak berpuasa dalam waktu persekolahan, maka menjadi suatu kesalahanlah ‘perlakuan’ itu. Puasanya ‘tidak sah’ kerana tidak mendapat kebenaran ibu bapa terlebih dahulu. Ah, kerja ibadah pun mahu ada hitam putihnya!

JAM EMPAT. MASUK MAGHRIB. Kami berbuka dengan juadah yang enak sekali. Fazidah menyediakan lontong dengan kuah kuning bersama nasi himpit diiringi sambal kacang, sambal tumis sotong kering, dan masak merah daging kambing. Sebagai pembuka selera, kami dijamu bubur lambuk Kota Singa. Noni (isteri Dr Salleh) bawa anggur hijau tanpa biji, yang segar bugar tak relai dari tangkai, penuh dua mangkuk besar. Norjan (isteri Redzuan) bawa lazania yang begitu sedap baunya, lazat pula rasanya. Manakala yang tersayang menyediakan ayam goreng ala KFC dan donut. Abdullah dari Oman tidak ketinggalan, turut menyumbang kek black forest bersaiz besar. Mahasiswa dari Oman ini nampaknya begitu selesa dalam majlis hari itu, dan terusan bersama kami berbuka, berjemaah Maghrib, bertarawih dan bertahlil - tidak jemu dia terlibat hingga ke hujungnya.

Atas permintaan sebahagian tetamu lelaki, termasuklah saya, yang dah lama kemaruk, sebaik selepas bertarawikh, Ahmad Daud dan Fazidah ‘terpaksalah’ pula menyediakan minuman istimewa yang ditunggu-tunggu sekian lama - teh tarik! Ummph sekali rasanya. Menjadi pemangkin perbualan yang tanpa tepi dan tanpa tajuk menyentuh pelbagai hal, sambil mengunyah punch buah-buahan bercampur-campur, dan sesekali mengulangi meja panjang yang terhidang di atasnya juadah yang masih berbaki.

JAM SEMBILAN. Kerancakan berbual mulai reda. Budak-budak ada yang terlena, ada yang merengek tiada punca dan tanpa mahu; sang isteri mula meminggir ke dapur; budak-budak yang besar sedikit, yang sudah boleh diharap, mengangkat pinggan mangkuk menyusul ibu-ibu; sang suami dan orang-orang muda bujangan mengemaskan common room, kembali mengatur kerusi meja ke tempat asal.

PUKUL SEPULUH. Perpisahan pun bermula. Masing-masing memberi janji akan ketemu kembali. Dr Suhaimi sudah menghebahkan jemputan berbuka puasa di rumahnya di Lancaster pada sembilan Ramadhan, dan kami pula sudah tempah minggu terakhir puasa untuk majlis di Cobridge. Yang tersayang dah berkira-kira mahu sediakan nasi dagang, acar timun campur lobak, masak merah ikan mackerel, dan balti kambing. Uh, siang-siang sudah pecah liur dibuatnya!

Pada Sabtu itu, kami ke Stafford menaiki keretapi. Inilah pengalaman pertama kami menggunakan servisnya di sini. Keretapi yang punya sembilan gerabak itu bentuknya saling tak tumpah macam Komuter, bergerak guna kuasa elektrik voltan tinggi. Warna kepalanya kuning, di gerabaknya yang dicat berselang hitam dan merah tertulis besar dalam warna putih perkataan Virgin - keretapi Anak Dara!

Perjalanannya lancar dan selesa, melalui kawasan hijau pinggir ladang ternakan biri-biri dan lembu. Servisnya pula ditandai kemesraan dan keramahan yang berterusan, bermula dari kaunter tiket sampai ke masa pemeriksaan ketika dalam gerabak. Tiada kerenah, tiada kesulitan apa-apa. Tiba dan sampainya pula tepat sebagaimana terjadual. Anak-anak begitu riang sepanjang perjalanan, dapat menaiki Virgin Train yang mereka selalu nonton iklannya di kaca TV.

Ketika pulang dari Stafford kami tersilap naik keretapi ke Manchester yang melalui Crewe. Terlajak kira-kira lima belas minit dari stesen Stoke. Setelah mencongak kos dan masa, kami mengambil keputusan menunggu keretapi dari Manchester ke Birmingham. Anak-anak seronok bukan main kerana dapat makan dan minum di kafeteria stesen Crewe. Sedang kami bersambil lewa di kafetaria, ternampaklah dua tiga orang penumpang yang bersama kami dalam keretapi dari Stafford, rupa-rupa mereka juga tersilap macam kami juga. Seorang gadis Pakistan masuk ke kafetaria, menegur dan berbual sebentar dengan yang tersayang. Dia nampak marah-marah. Katanya, jika dikenakan caj tambahan dia tidak akan membayar apa-apa kerana bukan kesilapannya. Dia menyalahkan steward stesen yang memberikan maklumat yang tidak betul.

Dari meja kami yang hampir dengan dinding kafeteria yang separuhnya cermin, tertonton bermacam laku manusia di stesen. Ada yang begitu tergesa-gesa, ada yang mundar-mandir, ada yang menyanyi dan ketawa dengan kuat tanpa menghiraukan orang lain. Terlihat juga beberapa anak muda berjersi pasukan Syaitan Merah yang bergurau senda sesama mereka. Ah, hari ini Sabtu, hari bola! Baru saya teringat di Old Trafford 'Syaitan Merah' menyambut kedatangan Sang Musang dari Leicester.

Dalam duduk menunggu, hirup jus, kunyah biskut sambil memerhati gelagat manusia di stesen, saya terpandang dua gadis -saya tak pasti jersi pasukan yang dipakainya - menyanyi dengan nada tinggi, melengguk-lengguk menari tanpa rentak tentu, bergurauan tolak-menolak, kemudiannnya berhenti di anak tangga. Dengan tiba-tiba tanpa menghiraukan sekitarnya, yang tinggi lampai berambut perang merungkai tali pinggangnya, ditarik zipnya, lantas terlondeh seluarnya sampai paras separuh paha. Macam kemabukan, sambil ketawa, si rambut perang menari-nari cacamarba dan menyanyi tidak tentu butir. Beberapa minit kemudian, barangkali otak sudah kembali waras, dikenakan semula zip seluar dan tali pinggangnya, kemudian berlumba-lumba melompati anak tangga bersama temannya dalam hilai ketawa yang kuat dan panjang.

Saya dan anak-anak terkebil-kebil, berpandangan sesama sendiri. Tiada reti mahu bicara apa-apa!

Yang kita reti, lazimnya di bulan Ramadhan al-Mubarak, syaitan-syaitan dibelenggu. Yang lagaknya tak senonoh di stesen Crewe ini, barangkali yang masih belum dirantai lagi.

“Evil has no holy months!” Begitulah reaksi George Bush kepada usul diberhentikan pengeboman di Afghanistan atas alasan menghormati kesucian Ramadhan.

Benar sungguh kenyataannya. Betul sekali kata-kata Sang Presiden, jika gelagat tanpa malu gadis di stesen itulah yang dijadikan ukuran!

PUKUL SEBELAS. Dalam perjalanan pulang, ketika tiket diperiksa, kami cuba menjelaskan perihal tersalah naik keretapi. Bukan sahaja kami tidak perlu membayar caj tambahan, pemeriksa tiket sambil menguntumkan senyum, dengan ramah menyebut ringkas, “No Problem!” Ah, bagus sekali servis Anak Dara ini!

SUDAH SEBELAS SETENGAH. Kami sampai di rumah. Anak-anak bergegas ke tingkat atas, mahu segera merebahkan keletihan di katil. Yang tersayang melayani si kecil yang mahu didodoi. Saya santai di ruang tamu, sempat menonton baki The Premiership di ITV1. Manchester membolosi gol Leicester dua kali. Yang ditonjolkan dan diulang tayang - gelagat Barthez bercanda di tiang gol ketika sepakan penalti diambil oleh pemain Leicester.

DETIK DUA BELAS MALAM. Mula mengetik di keyboard. Menderaf paragraf pertama yang jadi penyudah akhirnya: "Pertemuan waris-warah di Stafford, walaupun begitu singkat tetapi terbenih kemesraan yang menjalin ukhuwah. Teringat akan buku A Passion For Success karya Inamori, yang menyentuh tentang pertemuan yang singkat tetapi amat bermakna, membenih kasih sayang yang terkembang mekar kelopaknya. Pertemuan di Stafford, mengikat simpulan kasih waris-warah, atas keikhlasan hati dan keluhuran budi, di bulan suci penuh keberkatan - Ramadhan al-Mubarak".

Permisi. Wassalam.

Khamis, 28 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “DI MANA-MANA PUN, PAHALANYA SERATUS RIBU!”

‘Surau Seksyen Tujuh’ (SS7) di tingkat tujuh Hotel Janadriyah punyai keunikan tersendiri.

Pertama: ia merupakan ‘surau permaidani’. Maksud saya, kawasan lapang lobi tingkat tujuh yang agak luas itu akan bertukar menjadi surau apabila dua bidang permaidani yang besar lebar dibentangkan oleh Bangladeshi pekerja am hotel. Permaidani ini digulung dan disandarkan di dinding bersebelahan lift apabila solat berjemaah selesai. Menjadi tempat lalu-lalang seperti biasa. Kadangkala ada beberapa pasangan jemaah yang menghampar tikar, makan tengahari dan berjamu malam di situ.

Kedua: Imam yang awal (yang utama dan ketua surau) merupakan bekas Tok Kadi. Katanya, tujuan ‘membuka surau’ berkenaan semata-mata untuk memenuhi permintaan sebahagian jemaah wanita, warga emas dan segelintir yang terganggu kesihatannya. Kerana jemaah tahu latar pekerjaannya, maka Tok Kadi yang sudah pencen ini menjadi tempat mengadu. Bukan sahaja solat jemaah didirikan di lobi tingkat tujuh itu, malahan imam yang pernah mengaji di Universiti Azhar ini juga membaca tafsir kitab tertentu, mengisi waktu senggang di antara Maghrib dan Isya’. Yang uniknya, walaupun mempunyai latar pendidikan agama yang bagus dan profesion yang murni, hanya setelah pencen (opsyen awal) barulah dia berpeluang menunaikan Haji untuk kali yang pertama. Pada musim haji inilah!

Ketiga: Muazzin yang melaungkan azan di situ setiap masuk waktu ialah Bangladeshi pekerja am itu jugalah. Ada kenalan yang komplen (kadang-kadang menjadi bahan lelucon pula) kerana suara bilal tidak sedap didengar dan alunan lagu yang dibawakannya sumbang sekali, pak!
Sewaktu ada kesempatan berbual-bual panjang dengan Tok Imam SS7, saya selitkan komplen itu kepada beliau.

Jawapannya menjadikan saya terdiam, dan beralih kepada isu yang lain. Kira-kira begini katanya:

“Waktu saya mula-mula ‘membuka surau’ ini, Bangladeshi itulah orangnya yang bersusah-payah memikul dua gulung permaidani (dipinjamkan oleh pengurusan hotel). Dia jugalah yang menjadi bilal pertama. Orang kita malu-malu, malahan ada yang memberikan pandangan jelek. Seolah-olah solat di paras tujuh ini tidak sah! Saya sebagai imam awal dan ketua jemaah surau ini, tidak akan benarkan orang lain jadi bilal. Saya mahu orang yang ikhlas. Bukan orang yang hanya pandai mengalunkan suara yang merdu!”
Bekas Tok Kadi ini orang lama dan tinggi pengetahunnya. Pertanyaan-pertanyaan saya (walaupun berlapik dan berkias) dapat ‘ditangkap hidu’ seolah-olah suatu ‘interview’ mahu mencungkil rahsia. Memang betul sangkaan beliau. Dah lama saya berteka-teki dengan soalan kenapa dia tidak berjemaah di Masjidilharam. Padahal pada pandangan saya, fizikalnya tiada masalah apa-apa. Sebenarnya, soalan ini menjadi sok-sek di kalangan rakan sebilik saya dan beberapa kenalan yang lain.

“Saya sudah dengar tentang itu. Cakap-cakap di belakang yang tidak manis didengar. Saya ‘buka’ surau ini dengan kebenaran daripada pengurusan Hotel Janadriyah. Malahan pihak TH pun tidak berkata apa-apa. Jika saya tidak betul, kenapa tiada tindakan diambil? Lagipun, surau ini untuk orang-orang yang tidak mampu berjalan jauh-jauh. Jemaah lelaki yang ada penyakit kronik, uzur, tua...dan sebilangan wanita yang tidak berupaya.”

Saya mengangguk kecil, menanti Tok Imam berhenti sekejap meneguk air mineral. Sabar mahu mendengar kupasan yang lebih lanjut.

“Tentang solat di Masjidilharam. Saya pergi juga awal-awal sampai di sini. Kelakuan sebilangan jemaah sangat mendukacitakan. Berebut-rebut tanpa ehsan nak kucup Hajarul Aswad. Ada yang bertengkar dan bertumbuk. Himpit-menghimpit perkara biasa. Langkah bahu, lutut tergesel kepala orang yang duduk tidak dihiraukan. Semata-mata mahu solat di saf depan Kaabah. Mana akhlak kita sebagai orang Islam? Saya rasa sangat malu. Saya tidak sanggup melihat itu semua!”

Saya tidak dapat menahan lagi, lantas terloncat juga teka-teki: “Tak mahu pergi dah ke MasjidilHaram?”

Tok Imam memandang saya dengan senyum sinis. “Kalau tawaf, memanglah kena pergi. Itu Rukun Haji! tapi solat Jumaat pun tak semestinya di situ.”

Ketawa kecil disusuli kata-katanya yang akhir. “Solat di mana-mana pun, di Tanah Haram ini, pahalanya sama saja. Seratus ribu, macam di Masjidilharam juga!”

Permisi. Wassalam.

foto 1 & 2: Masjidilharam sesak pada waktu-waktu tertentu. Hari Jumaat memang melimpah-ruah. Seminggu sebelum dan selepas wukuf pula, memang jem teruk. Jemaah boleh cecah dua juta pada satu-satu masa. Pada waktu lain (jika awal masuk ke Tanah Suci sewaktu musim haji), anda boleh bergaya pula ketika merakam kenangan berlatarkan Baitulllah.

Rabu, 27 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “KALAU SOLAT, JANGAN TENGOK KAABAH!”

Seingat saya tak sampai lima kali saya solat berjemaah di ‘Surau Seksyen Tujuh’ Hotel Janadriyah. Sebahagian besar daripadanya ketika saya diserang demam agak tinggi. Hinggakan tidak larat untuk menapak ke Masjid as-Syeikh Muthowa’ yang kira-kira 50 langkah sahaja jaraknya dari lobi hotel. Untuk ke Masjidilharam yang jauhnya 850meter itu, lagilah tidak mampu.

Walaupun begitu, saya tidaklah pula turun solat di surau yang disediakan pihak hotel di tingkat ‘P’. Surau ini selalunya sesak. Majoriti jemaahnya ialah warga mas, wanita, dan orang-orang yang keuzuran. Saya pernah tiga empat kali ke surau tingkat ‘P’. Sekiranya badan keuzuran, lebih baik jangan ke situ kerana dua minggu di Kota Suci Mekah, ramai jemaah sakit – demam, selsema, kering tekak, dan batuk.

Ramai pula yang tidak mematuhi nasihat dan panduan perubatan daripada Klinik TH. Tidak mahu mereka memakai penutup mulut dan hidung. Lantas, waktu dilepaskan bersin dan batuk-batuk (biasanya panjang dan berkali-kali) tentu akan menimbulkan kegelian dan kerimasan kepada jemaah yang lain.

Ada kenalan (dengan nada sinis) yang menggelarkan Surau ‘P’ itu tempat ‘untuk jemaah yang PONTENG masjid’! Rasa perit juga telinga mendengarnya kerana saya pernah solat di situ. Barangkali kenalan saya itu terlupa betapa pada hari pertama menginap di Hotel Janadriyah, surau itulah tempat semua jemaah solat Subuh. Waktu itu surau masih belum melimpah kerana jemaah adalah rombongan penerbangan awal KT1 dan KT2. Paling banyak pun sekitar seribu orang sahaja.

Pada masa itu juga belum ramai jemaah yang sakit-sakit. Melihat keadaan ramai yang keuzuran berjemaah di situ, saya rasa Surau ‘P’ ini memang disediakan untuk golongan yang sebegitu. Maka silap besarlah kenlan saya yang melabelkannya sebagai ‘tempat jemaah ponteng masjid’. Kerana letaknya di paras P maka jemaah yang ke situ disindir-sindir ‘ponteng’ masjid!

Ugh, hodoh juga sikap orang kita! Cepat sungguh melabel tanpa usul sebab-musababnya!

Saya tidak pasti pula segelintir jemaah yang bersikap demikian menyertai atau tidak majlis bacaan Yaasin, tahlil dan solat hajat tiga hari sebelum kami berangkat ke Arafah. Cuma saya ada mendengar komplen tentang sistem audio yang tidak berfungsi dengan baik. Sebahagian jemaah tidak dapat mendengar tazkirah atau pengumuman oleh Tok Imam.

Kerana saya pergi awal, dapat pula duduk di saf paling depan, tiadalah mahu komplen apa-apa. Cuma dukacita kerana jemaah di sebelah saya asyik batuk-batuk dan bersin. Tidak pula dia memakai topeng kesihatan menutup mulut dan hidung!

Saya rasa mungkin ada sebab lain (bukan sekadar uzur dan tua saja) jemaah tetap ramai-ramai memenuhi surau itu walaupun terdengar sindiran-sindiran kecilan yang mengguris hati. Saya perhatikan, setiap selepas solat, zikir yang dibawakan oleh Imam serupalah dengan mana-mana masjid di Tanah Bonda – kerana imamnya orang kita! Dibandingkan dengan Masjidilharam, keadaannya berbeza sekali. Tiada zikir dan doa. Yang pasti ada setiap selepas solat fardhu ialah solat jenazah. Zikir dan solat sunat yang lain adalah atas inisiatif sendiri-sendiri.

Saya rasa, itulah sebabnya sebahagian jemaah yang tua-tua memilih solat di Surau ‘P’. Saya pernah dengar ada jemaah di situ yang mengatakannya begitu.
Mungkin jemaah yang datang dari kampung, taman, daerah atau mana-mana negeri yang terbiasa berzikir panjang-panjang di masjid selepas solat, lebih selesa dan rasa sangat sesuai dengan amalan di surau berkenaan.

Cuma ruginya, jika badan sihat dan hanya solat di Surau ‘P’ sepanjang berada di Kota Suci Mekah, tidaklah dapat pahala melihat Kaabah. Kupasan di dalam buku-buku panduan Haji dan Umrah menyebut betapa melihat Kaabah sahaja pun (belum lagi tawaf atau solat di depannya) sudah mendapat ganjaran pahala yang tidak sedikit!
Tapi kalau sudah keuzuran apakan daya kita. Hingus dan batuk masih belum bisa pergi jauh-jauh.

Saya terdengar khabar juga di kalangan jemaah kita terzahir 'perselisihan kecil' tentang perlakuan ketika solat betul-betul di depan Baitullah. Ada yang kata kita tidak boleh memandang Rumah Allah itu ketika solat. Yang berkata sebaliknya pun ada juga: tidak boleh tengok, hanya tunduk saja ke marmar dataran tawaf. Masing-masing membawa dalil tersendiri. Ada yang menyebut ustaz tertentu kata begini (boleh tengok), ustaz yang lain kata sebaliknya (tidak boleh tengok)pula! Entah ustaz yang mana tidak dapat dipastikan pula.

Ketika saya mengikuti kursus haji anjuran TH di Tanah Bonda, penceramah acap kali juga berpesan tentang kewujudan 'ustaz-ustaz instant' yang pandai 'menghukum' itu dan ini. 'Ustaz-ustaz tanpa tauliah ini' dikatakan biasanya 'bersyarah' di dalam bilik sendiri, kadangkala menimbulkan keliru kepada rakan sebilik yang totalnya tujuh.

Suatu waktu (di ‘Surau Seksyen Tujuh’), sedang orang lain membetul-betulkan saf dan bersedia untuk mengangkat takbirratulihram, seorang jemaah (agak berumur orangnya), tiba-tiba tunduk dan membalik sebahagian sejadahnya yang ditenun imej Kaabah. Seorang yang lain bertanya separa berbisik: “Apa halnya, pakcik? sejadah kotor?”

Pakcik itu mendecit kecil penuh yakin: “Kan ustaz dah kata, kalau solat jangan tengok Kaabah!”

Tidaklah pula disebut dengan khusus ustaz yang mana satu!

Permisi. Wassalam.

foto 1: jemaah di dalam MasjidilHaram. selepas zikir, mengaji, solat sunat, sanggup pula tidur dan baring-baring menunggu masuk solat fardhu. Jika terlambat, sukar mendapat ruang solat yang selesa.
foto 2: jemaah pelbagai negara santai di laman Masjidilharam. Jejantas itu merupakan pintu masuk ke tingkat satu Mas'a.

MEMORI HAJI 2010: MALAIKAT PURA-PURA” (4)

Suatu petang, saya bertemu Zaki ketika dalam perjalanan menuju Masjid as-Syeikh Muthowa’. Agak sugul dia ketika beritau tentang keuzuran Badrul. Katanya demam agak kuat, suhu badannya agak tinggi. Makan tak berapa lalu, solat pula hanya di ‘Surau Seksyen Tujuh’. Sudah dua hari dia tidak ke MasjidilHaram. Selepas solat Asar, saya mengikuti Zaki ke biliknya. Kerana adat menziarah orang sakit, sebelum itu saya membeli setengah kilogram anggur dan empat biji epal di kedai runcit sebelah hotel. Sejak berkawan dengannya, saya tahu itulah buah-buahan kegemaran Badrul.

Ketika sampai di biliknya, memang Badrul nampak tidak bermaya. Dalam kepayahan dia beritau sudah ke klinik TH, tetapi demam tidak berkurangan. Saya unjukkan sebiji epal yang sudah dicuci kepadanya. Dia menggelengkan kepala. Badrul memberikan isyarat dia mahukan anggur sahaja. Zaki yang duduk di hujung katil bingkas dan mengambil sebiji epal daripada plastik yang saya pegang. Dia mengambil sudu, dan mula mengikis kulit epal merah yang biasanya rangup dan manis – pecah liur dibuatnya.

“Hah, ini sebabnya Badrul tidak mahu epal. Sejak demam ni, dia dah pantang makan epal. Inilah sebabnya!”
Zaki mengunjukkan kepada saya telapak tangan saya.
“Kalau dikikis semua epal yang ada dalam plastik ni, boleh dapat semangkuk lilin!”

Saya tidak komen apa-apa, hanya kerinsing (rasa gerun mula bergelora dalam kepala). Epal merah yang rangup dan manis itu memang kegemaran saya juga. Biasanya saya hanya membilas dengan air sambil menggosok-gosok kulitnya dengan tangan. MasyaAllah, selama ini sudah banyak sekali lilin yang saya mamah, sekali dengan kulit epal! Ugh, penyakit apa yang bisa terjadi hasilan ‘mendapan lilin’ di dalam badan saya? Dalam diam saya bertekad tidak akan memamah epal lagi. Tidak sama sekali, di sepanjang musim haji ini.


Sebelum berpisah Badrul berbisik: “Tolong doakan agar saya cepat sembuh.”
Kerana tidak bisa menghampakannya, saya memberikan janji: “InsyaAllah selepas Maghrib saya berdoa di Hijir Ismail.”

Sewaktu santai di bilik, saya intercom Yang Tersayang mohon ehsan daripadanya, supaya segera berjumpa kenalannya di Klinik TH, dan mendapatkan preskripsi ubat demam yang lebih tinggi dosnya. Saya minta pertolongannya untuk menyampaikan ubat berkenaan kepada isteri Badrul, dan berpesan supaya jangan dikaitkan tindakan itu dengan saya. Yang tersayang akur, dan berjanji akan segera mendapatkannya.

Pagi esoknya, saya turun minum dan makan-makan di kafeteria dengan Yang Tersayang. Berselera sekali menikmati mi goreng, karipap, nasi lemak, teh tarik, dan coklat panas. Belum pun separuh juadah dimakan, ucapan salam datang dari belakang sekaligus disertai dua belah tangan hinggap lantas memicit-micit bahu saya. Sambil gelak kecil, Badrul menarik kerusi dan duduk bersebelahan saya. Tidak lama kemudian isterinya pula menyertai kami.

“Saya dah bayar semuanya.” Sambil tersenyum Badrul mencecah roti ke dalam kopi.

Saya zahirkan protes sambil gelak-gelak. “Tak betul ni. Kami yang makan banyak, kamu pula yang belanja.”

Badrul hanya ketawa kecil. Dia memandang keliling, kemudian bersuara dalam nada rendah. “Susah-susah aku nak jumpa malaikat, rupa-rupanya datang betul-betul ia ke bilik aku!”

Saya dan Yang Tersayang saling memandang. Sambil menggelengkan kepala, hati membisik lucu: ‘Ugh, kamu ni Badrul, tak habis-habis mimpi nak jumpa malaikat!’

“Kamu tak percaya? Inilah malaikatnya!” Badrul menepuk-nepuk bahu saya.

Dia menambah. “Inilah malaikat yang berdoa di Hijr Ismail, untuk aku semalam. Nah, sihat walafiat dah. Nak pergi Tanaim, buat umrah malam ini pun boleh!”

Saya segera mencelah. Mahu segera menukar topik. Kerana Badrul sudah mula kuat sedikit suaranya. Saya cuba buat kelakar.
“Betul tu. Malaikat pura-pura!”
Kami berempat ketawa serentak.

Permisi, wassalam.

nota: 'Surau Seksyen Tujuh' itu merujuk kepada lobi di tingkat tujuh(kawasan agak luas, di kiri kanannya ada enam pintu lift), yang dijadikan surau setiap solat fardhu. Permaidani tergulung dan bersandar di dinding bersebelahan lift, akan dibentangkan oleh Bangladeshi buruh am Hotel Janadriyah ketika tiba waktu solat. Di lobi inilah biasanya Ustaz Shapawi menyampaikan ceramahnya. Gelaran itu rakan-rakan sebilik saya yang reka. Tak tahu orang lain gunakan nama yang sama atau tidak. Amat jarang kami bersolat di situ.

foto: Ustaz Shapawi di 'Surau Seksyen Tujuh'.

Isnin, 25 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “MALAIKAT PURA-PURA!” (3)

Ustaz Shapawi yang budiman dan sangat popular di kalangan jemaah Malaysia, pernah menyelitkan sikit kisah malaikat dalam ceramahnya. Beliau menceritakan tentang kegemparan yang terjadi kerana heboh tersebar malaikat telah turun di MasjidilHaram menaiki kereta kuda. Digambarkan betapa hebatnya peristiwa itu sehingga bingitlah seluruh masjid yang tersohor itu kerana gegaran kuat akibat kereta kuda berkenaan mendarat di atas bumbungnya. Ratusan ribu manusia yang sedang beribadat menjadi gempar. Maka menyusullah pelbagai khabar yang tiada siapa tahu asal sumbernya, dan tidak dapat dipastikan benar betulnya.

Para jemaah Musim Haji 2010 yang menginap di Hotel Janadriyah diam semuanya mendengar cerita Ustaz Shapawi. Kami melopong dan terpegun ingin mendengar lebih lanjut kejadian pelik itu. Akhiran ceritanya menyebabkan jemaah yang memenuhi lobi di tingkat tujuh Hotel Janadriyah tidak dapat menahan diri daripada tergelak kecil dan besar. Ustaz Shapawi memberitau setelah disiasat pihak berwajib, rupa-rupanya bukan malaikat yang turun dengan kereta kuda, tetapi ‘blower’ penghawa dingin rosak teruk. Sebab itu bunyinya bingit menggegar!

Saya fikir, begitulah jadinya apabila sebahagian para jemaah begitu mengharapkan berlaku kejadian pelik yang dianggap ‘keajaiban di Tanah Suci’. Tentulah bangga dan seronok tiada batasan jika kita sendirilah yang mengalami peristiwa ajaib itu. Boleh berbuih mulut menceritakan kepada orang lain (waris-warah dan sahabat-handai) yang berkunjung merai kepulangan kita.

Seorang kenalan saya (Badrul) termasuk dalam golongan insan yang sangat ghairah mahu bertemu dengan malaikat. Suatu hari (minggu pertama di Mekah) ketika santai di kafeteria bersama saya dan Zaki (teman sebiliknya), dengan bersemangat sekali Badrul menceritakan peristiwa yang sangat diimpikannya itu. Katanya dia bertemu malaikat!

Ceritanya: “Ketika berjalan sendirian selepas Subuh, saya terhadang oleh susuk tubuh yang tinggi berpakaian serba hitam. Saya tidak nampak mukanya kerana ditutupi burkha (purdah). Entah bahasa apa yang dituturkannya saya tidak faham. Dihulurkan tangannya seolah-olah meminta sesuatu. Saya rasa ujian daripada Tuhan sudah datang. Malaikat menjelma sebagai peminta sedekah di Masjidilharam. Saya mesti ikhlas. Bersedekah tidak boleh teragak-agak dan sangsi. Saya terus berikan sepuluh rial kepadanya yang ada di dalam poket. Saya bercadang nak tambah lagi sepuluh rial. Tengah saya ralit membuka katup poket beg sandang, saya terasa bahu dilanggar. Rupa-rupanya Zaki yang berbisik supaya saya jangan tunjuk dompet di tengah-tengah ramai begitu. Katanya jangan ingat di Masidilharam ini tiada pencuri, peragut atau penipu!”

“Saya rasa nak sengkeh kepalanya. Kerana Zaki, malaikat yang menjelma sebagai peminta sedekah itu sudah hilang. Sudah ghaib.”

Zaki yang senyum kambing, menyepak hujung kasut saya, dan segera mencelah: “Nasib baik kamu bertemu malaikat nak minta sedekah. Kalau bertemu Malaikat Maut?”

Badrul masam. Dahinya berkerut. Nampak sangat dia tidak bersetuju. “Kamu mana tau? Ke Masjidilharam pun jarang-jarang. Asyik sembahyang di surau hotel saja. Mana nak jumpa malaikat! Aku pasti, sebab waktu itu aku rasa seram sejuk. Menggigil. Tergamam. Tak boleh bersuara apa-apa.”

Zaki ketawa kecil. “Wow, macam Nabi jumpa Jibril! Tinggi betul makam kamu!”


Zaki yang kelakar, suka mengusik dan mengutuk member sendiri itu terus mencucuk: “Wanita jubah hitam itu minta sedekah daripada kamu, kerana dia nampak kamu sangat baik hati. Macam malaikat! Aku rasa, sebenarnya kamulah malaikat yang menjelma jadi jemaah haji dari Malaysia! ”

Saya tidaklah mengulas apa-apa di depan Zaki dan Badrul. Saya khuatir boleh disalah-ertikan. Kerana beberapa hari sebelum itu Yang Tersayang menceritakan perkara yang serupa, tentang beberapa orang wanita tinggi lampai, berjubah hitam, memakai purdah. Tanpa segan-silu meminta sedekah di kalangan jemaah yang solat di paras ‘basement’ (khas untuk wanita). Malahan ada rakan sebilik saya yang turut menceritakan hal yang sama: dihadang oleh jemaah wanita berjubah hitam yang meminta sedekah.

Saya rasa, ‘makhluk’ itu jugalah yang ditemui oleh Zaki. Cuma tidak sampai hati saya nak beritau Zaki hal itu kerana dia nampaknya sangat yakin sudah bertemu malaikat! Lagipun saya lihat Badrul pula asyik menyindir dan mempersendakan teman sebiliknya itu. Jika saya buka cerita tentang peminta sedekah yang ‘operasi’ di kalangan jemaah wanita, khuatir Zaki akan terluka. Lebih-lebih khuatir, dia terusan akan jadi bahan ejekan Badrul saja akhirnya!
Permisi. Wassalam.

foto: pastinya, Malaikat Izrail sudah datang menjalankan tugasnya!

Sabtu, 23 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “MALAIKAT PURA-PURA” (2)

Esoknya, apabila bertemu dengan Ustaz Feri (mutawif yang menjadi pembimbing dan perujuk sepanjang kami di Tanah Suci Mekah dan Madinah), saya khabarkan perihal ‘malaikat upahan’ itu. Tiada sebarang kejutan di wajah pemuda Indon yang sedang studi di sebuah universiti di Madinah. Dia kasi tahu betapa perkara itu lumrah sekali. Sebaliknya, saya pula tergeleng-geleng kepala. Amat mengejutkan kerana ada jemaah yang membayar hingga seribu rial! Bukan ‘diperangkap’ macam saya, tetapi sudah ‘dirundingi dan disepakati’ terlebih dulu. Setelah tetap harganya, barulah seseorang jemaah dibawa meredah ombak manusia untuk mengucup Hajarul Aswad.
Maksudnya, di sini sudah tersedia penawaran servis untuk ‘menolong’ jemaah kucup batu hitam yang amat tersohor itu. Sanggup hulur rial, insyaAllah impian bisa saja tercapai.

Cuma ketika di Tanah Bonda tidaklah pernah saya dengar dalam mana-mana ceramah Haji dan Umrah disebut tentang perkara ini. Tidak pula diceritakan oleh siapa-siapa yang baru kembali menyempurnakan ibadat di Tanah Suci. Tidak juga disuarakan otai-otai yang sudah beberapa kali ke Tanah Suci. Tidak pula diperingatkan oleh Kak Ara, yang sudah sedozen kali ke Tanah Suci bertugas sebagai guru pembimbing dengan Tabung Haji. Mungkin ramai yang tahu tapi tidak mahu memperbesar-besarkannya kerana ‘kerja mengucup’ itu hanyalah sunat semata-mata.
Datang jua dalam fikiran: barangkali tiada salahnya jika servis itu bukan suatu ‘perangkap’ untuk mengaut untung atas keghairahan jemaah mahu mencapai impian. Lagipun, ramai jemaah yang tidak begitu bagus kondisi fizikalnya. Usahkan mengucup Hajarul Aswad, mahu tawaf pun perlu diberikan bantuan – dipapah atau berkerusi roda.

Tapi perlakuan mengucup itu tidak termasuk dalam Rukun Haji atau Umrah, maka tidak sekali-kali boleh disamakan dengan ‘upah melontar’ atau apa-apa saja yang berkaitan dan boleh ‘diwakilkan’ dengan mengupah orang lain melakukan untuk kita. Tentunya jemaah tidak mungkin akan mengupah siapa-siapa jua untuk jadi ‘wakil’ kucup Hajarul Aswad. Mana bisa begitu! Kucupan untuk nikmat dirasai diri sendiri. Mana bisa diwakil-wakilkan!

Jika tidak mampu memasukkan kepala ke dalam frem perak yang melingkari batu hitam itu, sudah memadai jemaah mengucup jejari sendiri dan melambai ke arah Hajarul Aswad. Tapi harus diingat, ini tidak sekali-kali sama seperti menggayakan ‘kucupan terbang’. Ini dikatakan perlakuan isti’lam.

Sewaktu makan murtabak dan roti canai di kafeteria, anak gadis saya yang bertiga (Ney-ney, Dek-dek dan Syai) serta Mashitah (anak saudara) mendadak naik semangat apabila dikhabarkan kejayaan kami (Saya, Jenol dan Yang Tersayang) mengucup Hajarul Aswad. Tidaklah pula saya buka rahsia tentang adanya servis ‘bantuan mengucup’.

Kerana Yang Tersayang dan Jenol berhajat menunaikan umrah untuk kali kelima, maka saya secara automatik mendapat mandat menjadi peneman kepada tiga gadis yang ghairah mahu mengucup HajarulAswad. Amat teruja kesemuanya mahu jadikan ia kenangan paling manis sepanjang hayat. Ney-ney (anak yang bongsu) tidak menyertai mereka kerana mahu mengikuti ibunya ke miqat menaiki bas. Katanya mahu merasai pengalaman naik bas ke Tanaim. Tambahan lagi, dia mahu mendahului tiga gadis yang lain, yang baru empat kali melakukan umrah.

Pada pagi yang dijanjikan, selesai tawaf sunat kami mengambil posisi di depan Makam Ibrahim. Kami dapat melihat dengan jelas jemaah wanita berebutan juga mahu mencapai impian mereka. Yang Tersayang sudah berpesan supaya memerhatikan gelagat beberapa jemaah lelaki yang menyelit di antara barisan jemaah wanita. Biasanya jemaah dari Pakistan , India atau Turki yang punyai susuk tubuh yang tegap , besar dan tinggi. Tugasnya mengepak kedua-dua belah tangan menjadi benteng, membuka laluan selesa kepada jemaah wanita mereka (mungkin isteri atau ahli keluarga) untuk menghampiri Hajarul Aswad.

Saya tidaklah menyanggupi untuk berbuat demikian kerana di kawasan yang dimaksudkan itu dikerumuni jemaah wanita sahaja. Ugh, mana bisa kita bergelut dengan jemaah wanita pula!

Tidak lama memerhatikan pergelutan dan perebutan Rukun Hajarul Aswad, saya nampak seorang lelaki Pakistan (cam pakaian dan parasnya) dalam aksi ‘menjadi benteng’ kepada tiga empat jemaah wanita. Detiknya sudah tiba! Maka segeralah gadis Melayu yang bertiga itu menyusup dan mengambil kesempatan ruangan yang dibuka dan cuba dipertahankan oleh lelaki Pakistan berkenaan.

Syukur kepada Yang Maha Berkuasa, ketiga-tiganya berjaya mencapai impian yang indah itu. Tapi saya perhatikan, ketiga-tiganya terpaksa bergelut sikit kerana lelaki Pakistan itu berdiri di situ tidak lama. Nasib baik Mashitah itu tegap dan agak tinggi, jadi dialah yang menjadi benteng untuk Dek-dek dan Syai pula. Rasa geli hati juga melihat terlucut habis jilbat Mashitah kerana ‘berusaha keras’ menahan himpitan dan tolakan jemaah wanita dari Negara lain yang saiznya agak besar, lebar, tinggi dan agresif amat!

Malam itu di kafeteria, riuh jugalah di meja kami dengan kisah kegembiraan ketiga-tiga gadis Melayu yang berjaya mengucup Hajarul Aswad. Dalam diam berbisik hati saya: ‘untungnya mereka, tidak perlu membayar upah ratusan rial untuk dapat servis daripada malaikat pura-pura!’
Permisi. Wassalam.

foto: gadis Melayu dalam bayangan Kaabah

Khamis, 21 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “Malaikat Pura-pura!” (1)

Siapa mahu jumpa malaikat?

Dalam aspek gaya bahasa, ini dikatakan sebagai ‘soalan retorika’. Pertanyaan yang diajukan itu sesungguhnya tidak perlu dijawab oleh siapa-siapa. Dalam soalan itu sudah ada jawapan. Dalam ertikata yang lain, soalan dan jawapan terkandung dalam ayat yang sama. Bagi soalan tadi, saya fikir tidak ada orang yang waras akan memberikan jawapan ‘tidak mahu’.

Jika ditanyakan kepada sesiapa yang pernah ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, tidak kira tujuannya untuk menunaikan Rukun Yang Ke-5 atau hanya melaksanakan umrah serta ziarah, maka soalannya kenalah baiki sikit jadi begini: ‘Waktu di sana, pernah jumpa malaikat?’ Sebabnya? Kadangkala ada jemaah yang masih 'kuat aura' haji atau umrahnya, rapuh mulut bercerita tentang lelaki misteri yang datang beribadat sekali. Tujuan buka cerita itu untuk mengatakan betapa bertuahnya dia (jemaah berkenaan) menjadi tetamu Allah yang teristimewa kerana ditemani malaikat ketika di sana!

Tapi sifat soalan yang kedua ini bukan retorika pula. Kerana jawapan tidak terisi dalam soalan itu. Mungkin juga yang bertanya itu akan ditempelak orang lain pula kerana mengungkitkan perkara yang pelik. Itu persoalan berkaitan alam ghaib. Malaikat makhluk suci. Jika bertemu malaikat di Kota Mekah atau Madinah, bermakna orang berkenaan sudah berinteraksi dengan makhluk suci dari alam ghaib! Lantas jika ditanya oleh waris-warah ketemu malaikat atau tidak, jika jawapannya 'ya' maka sahlah jemaah itu termasuk dalam golongan 'tetamu Allah yang teristimewa'.

Sewaktu berbual-bual dengan waris-warah yang bertandang di majlis kesyukuran sekembali kami dari Tanah Suci, ada yang bertanya kepada saya: “Ada peristiwa pelik ketika di sana?” Selepas termenung sejenak, saya memberikan jawapan sebegini: “Ada. Tapi tidak pelik. Saya jumpa malaikat!”

Lima enam orang waris-warah yang mengelilingi meja di bawah khemah mula menaruh minat. Ketara masing-masing menanti kata-kata saya yang seterusnya. Seorang yang lain merapatkan kerusinya, hingga bersentuhan dengan kerusi saya. Ketika sudah duduk kemas-kemas, dia berkata, “Cerita macam ini kita nak dengar. Bukan cerita pelik tentang buruk dan mudharat orang lain.”

Seorang wanita muda baru anak dua, tutor di IPTA segera menyampuk, “Pelik tapi ada ikhtibar. Pelik tapi penuh hikmah. Bertuah betul Haji. Jadi insan pilihan!”

Seorang lelaki awal empat puluhan berdehem sambil membetulkan kopiah buatan Bangladesh (ole-ole yang saya hadiahkan kepadanya). Walapun bernada rendah, garau suaranya dan satu-satu pula perkataan terloncat, menyebabkan orang lain memaku tumpuan kepada dia. “Cerita tentang malaikat, bukan cerita pelik. Apa yang peliknya kalau itu memang dah termasuk dalam Rukun Iman?”

Wanita muda tutor IPTA nampak tidak puas hati. Dia menyampuk lagi. “Percaya dengan jumpa sendiri berbeza, bang! Memang kita wajib percaya perkara ghaib. Tapi jika sudah jumpa dengan makhluk dari alam ghaib, itu dah jadi perkara pelik!”
Setelah semuanya diam, saya memulakan bicara.

Kisah ini berlaku sewaktu saya menunaikan umrah pada tahun 2009. Sudah tiga hari di Kota Suci Mekah, saya masih belum dapat mengucup Hajarul-Aswad. Hajat memang menggunung kerana niat sudah terpasang sebelum terbang dari Tanah Bonda lagi.
Sejak tawaf kali pertama, sudah dapat melihat manusia yang pelbagai rupa bentuk dan warna kulit berebut habis-habisan untuk mengucup batu dari syurga itu. Kadangkala timbul rasa bimbang tidak akan dapat berbuat demikian kerana ramainya manusia yang berebutan di situ. Tapi rasa ingin berbuat demikian mendadak kemuncaknya apabila Yang Tersayang ceria sungguh membawa perkhabaran gembira tentang kejayaan mengucup batu hitam dombaan seluruh jemaah, selepas sehari JENOL (pemuda pencinta masjid) riang memberitau dia telah berjaya.

Sugul sungguh rasa di hati kerana semua rakan sebilik (Yang Tersayang dan Jenol) sudah berjaya mencapai cita-cita setiap jemaah. Lantas saya memasang tekad mahu berjaya seperti mereka jua.

Pada suatu pagi, selepas selesai tawaf, saya segera masuk barisan panjang di tepi Kaabah. Sebahagian jemaah begitu sabar beratur menunggu giliran sampai ke penjuru Hajarul-Aswad. Sebahagian besarnya pula bertolak-tolakan, siku-menyiku, tarik-menarik mahu mendahului yang lain untuk berdiri paling depan, dan mendapat lebih besar peluang untuk mengucup batu hitam penuh bersejarah itu.

Ketika makin hampir, dan jelas perebutan hebat di depan Hajarul-Aswad, terfikir pula betapa sukarnya untuk saya berjaya sampai ke situ jika hanya beratur dalam ketertiban. Seorang polis yang mengawal di situ hanya berdiri – memerhati sambil kedua-dua tangan berpegang pada tali yang agak kasar. Ugh, ini bukannya beratur nak masuk ke stadium atau nak bayar barangan di kaunter pasaraya. Kedua-dua itu tiada siapa nak berebut pun. Kalau berebut juga, orang akan cop kita sewel!

Kerana sudah terpedaya dengan bisikan itu, maka saya keluar dari barisan tepi Kaabah, dan menyertai perebutan yang berlaku. Segera mencelah - menepis dan menolak orang lain juga! Mesti buat begitu, jika tidak boleh sesak nafas dihimpit, dan bisa terhumban akibat asakan yang kuat.

Kali ini, saya amat yakin akan dapat mencium batu dari syurga itu. Saya sudah dapat melihat dengan jelas seluruh fremnya yang bujur dan warnanya yang hitam. Ombak himpitan datang dari belakang begitu kuat. Itu yang saya mahu. Saya terdorong lebih ke depan. Hajarul-Aswad sudah bersedia untuk menerima kucupan daripada seorang jejaka Melayu.

Sewaktu kedua-dua tangan menggapai, tiba-tiba datang suatu tolakan lebih kuat dari depan. Rasa macam melambung dibuatnya. Nasib baik saya tidak jatuh. Tapi serban sudah terburai, kopiah sudah terbang entah ke mana. Hampa sungguh.

Kerana sudah bertekad mahu melakukannya pagi ini juga, saya menyelit masuk ke dalam barisan tepi Kabaah pula. Tidak peduli lagi kepada jelingan entah daripada bangsa apa dan bebelan dalam bahasa asing.

Ketika saya melilit serban kemas-kemas, ada suara yang menyapa: “Haji, mahu kucup Hajarul-Aswad? Ayuh, ikut sini!”

Terlintas dalam hati: ‘Apakah ini pertolongan daripada Allah. Apakah Allah sudah mengirimkan malaikatnya, menjelmakan diri untuk membantu saya?’

Sebenarnya saya sudah tergamam. Saya tidak usaha langsung untuk melepaskan cekakan di pergelangan tangan. Saya ikut terus dua pemuda yang berbaju Melayu, bersongkok dan berseluar slek. Tegap sekali susuk tubuh kedua-duanya.

Tidak sampai sepuluh minit, tanpa susah payah (dihimpit, disiku dan ditolak), tiba-tiba saya sudah betul-betul berdiri di depan Hajarul-Aswad. Tiada halangan langsung. Laluan luas terbentang.
“Cepat, Haji! Kucup! Kucup!” Suara pemuda itu agak keras, diikuti tolakan telapak tangannya agak kuat di belakang kepala saya.
Subhanallah. Alhamdulillah. Hajat saya tertunai. Datang niat mahu segera solat sunat di belakang Makam Ibrahim. Mahu lekas-lekas ke tepi tembok Masjidilharam, meneguk air baraqah. Mahu cepat-cepat pulang ke Hotel Abeer Garden. Mahu kongsi gembira dengan Yang Tersayang. Jenol tentu tiada di bilik. Lepas sarapan, rehat sekejap, dia akan pergi lagi ke Masjidilharam, iktikaf hingga waktu Zohor.

Sedang saya mencelah arus jemaah yang tawaf, dua pemuda tadi berjalan beriringan dengan saya.
‘Eh, malaikat dah jadi bodyguard pula?’ ingatkan sudah selesai tugas, terus hilang terbang ke langit!’

Tidak jadi saya menunaikan solat sunat di belakang Makam Ibrahim. Tidak tertunai niat mahu teguk air zam-zam. Semuanya terbatal. Saya mahu lekas-lekas melangkah pergi dari medan tawaf, mahu cepat-cepat keluar dari Masjidilharam.

Barulah saya tahu kedudukan sebenarnya. Kedua-dua pemuda Indon yang berbadan tegap itu mendesak saya membayar sebanyak 300 rial. Rupa-rupanya, mereka mengambil upah ‘menolong’ jemaah mengucup Hajarul-Aswad!

“Kena bayar tinggi, Haji! kerjanya sulit amat! Sengal-sengal badan semuanya!”

Saya berkeras tidak mahu membayar apa-apa. Saya rasa sudah tertipu. Saya tinggikan suara juga, mengatakan bukan saya yang minta, mereka yang menawarkan ‘pertolongan’. Keadaan jadi rumit. Apabila saya berikan alasan tidak punyai duit sebanyak itu, kedua-duanya mendesak mahu mengikut saya pulang ke hotel! Setelah berkira hitung hampir dua puluh minit, akhirnya mereka bersetuju dengan ‘harga’ seratus rial yang saya tawarkan. Kemudian cepat sekali mereka hilang dalam kesesakan jemaah yang lalu-lalang.

Sehari selepas kejadian itu, ketika tawaf, sekali lagi saya disapa pemuda Indon juga. Manis sekali menawarkan bantuan untuk mengucup Hajarul-Aswad. Sekilas pandang, saya yakin ini bukan pemuda semalam. Saya menjawab ringkas tanpa memandang ke wajahnya: “Saya dah kucup pun!”

Ketika meneruskan tawaf itu, rasa terkilan menguasai diri. Walaupun saya berjaya mengucup batu hitam dari syurga itu, tapi tidak terfikir terpaksa ‘mengupah’ bantuan orang lain. Ingatkan betul-betul malaikat yang membantu. Rupa-rupanya yang datang dua orang Indon menjadi ‘Malaikat pura-pura’! Kena upah lagi, pak!
Permisi. Wassalam.

foto: di sudut Hajaraswad - seorang polis dan ratusan ribu jemaah

Rabu, 20 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “Kawe ikut Nabi je!” (bhgn 3)

Tidaklah sukar mencari bilik Pakcik Derame kerana sewaktu sama-sama berurusan di kaunter ‘bank’ TH kami sudah saling bertukar info bilik. Rasa juga berdebar mengingatkan keadaannya yang merekah tumit dan ibu jari kaki yang agak teruk. Tambahan pula dia pernah memberitau saya tentang darah tinggi yang dihidapinya sudah banyak tahun. Walaupun lelaki Kelate ini nampak dan bunyi gedebe, jika diperhatikan lama-lama air mukanya dan fizikal tubuhnya, saya bolehn teka dia mempunyai penyakit lelah juga.

Ketika bersembang di kaunter bank TH dan di klinik, nampak sangat kadangkala dia berhenti sebentar untuk mengambil nafas baru. Saya tidaklah bertanya terus kepadanya. Sudah terkena ‘jerkah’ sekali, jadi tak payahlah nak mengada-ada untuk kali kedua. Orang gedebe bilah sudah naik syehnya, merah mata, dan berombak dada, tak kenal siapa lagi, bersemburanlah kata-kata pedas dan tajam daripada mulutnya.
Lelaki sederhana tinggi, gendut sekali, membuka pintu dengan berkerut dahi ketika saya memberikan salam dan mahu kepastian keadaan Pakcik Derame. Teragak-agak juga lelaki yang berkain pelikat dan singlet tanpa lengan itu mahu menjawab. Barangkali silap saya juga – tidak tahu nama penuh Pakcik Derame.

Kerana lelaki berpelikat itu nampak ragu-ragu dan gerak badannya pula seolah-olah tidak senang pula dengan kehadiran saya (nampak macam dia baru bangun tidur!), saya berkira-kira mahu pergi saja. Belum sempat meloncat kata-kata apologi daripada mulut saya, tiba-tiba tertangkap sapaan daripada suara yang saya biasa dengar.
“Ado apo demo mari ni?”
Pakcik Derame yang agak tinggi orangnya, nampak macam bangau menjulurkan kepala di atas bahu lelaki yang berpelikat. Sebaik sudah pasti saya memang kenalan rakan sebiliknya, lelaki berpelikat rambut sudah agak banyak uban berlalu tanpa menyebut apa-apa. Barangkali mahu kembali rebah di atas katil, peluk bantal dan pejam mata rapat-rapat.

Pakcik Derame agak pucat, berdiri menahan pintu dengan belakangnya. Saya lantas beritau tujuan nak menziarahnya. Melihat mood lelaki gedebe ini agak baik, secara berseloroh saya ceritakan tentang mimpi yang menyebabkan saya sampai ke biliknya.
Pakcik Derame terkekeh-kekeh. “Demo ni, mimpi hok betul, mimpi Nabi Ibrahim je. Yang pandai tafsir mimpi pulok, Nabi Yusof!”

Saya hanya tersengih. Rasa macam orang bodoh pula kerana percayakan sebuah mimpi yang datang mengusik kesedapan tidur.

Selepas memberikan kedua-dua bungkus sandwich kepadanya, saya mohon berlalu. Rasa-rasanya tiada apa lagi yang mahu disembang-sembang. Orang yang disangka masuk wad, sihat walafiat. Mimpi sudah menipu diri sendiri!

Selepas hari itu, saya tidak bertemu dengan Pakcik Derame lagi. Kami berlainan rombongan, jadi tidak mungkin akan naik bas yang sama untuk perjalanan jauh ke Mekah. Di Hotel Janadriyah pula tingkat jemaah ditempatkan ditentukan oleh jadual awal akhir penerbangan dari Tanah Bonda. Jadi terpisahlah saya dengan Pakcik Derame.

Hampir tiga minggu di Mekah, sewaktu bergegas mahu ke masjid, kebetulan sekali saya terserempak dengan Pakcik Derame yang duduk-duduk di kerusi panjang lobi. Hari ini saya tidak ke Masjidilharam, hanyaa solat di masjid bersebelahan hotel. Selsema dan batuk berat sudah tiga tidak mahu hilang lagi. Walaupun begitu, saya tetap izinkan Yang Tersayang solat di Masjidilharam, menyertai beberapa orang temannya dan suami mereka. Kerana saya lihat Yang Tersayang memang seronok sungguh beribadat di Masjidilharam, saya tekad dalam hati tidak akan menghalang hajatnya yang sangat baik itu. Lagipun saya bukan sakit berat. Cuma tidak selesa berhingus dan batuk-batuk ketika solat di Masjidilharam, dan rasa tidak berapa segar untuk tawaf di Baitullah.
Kerana jarak Masjid as-Syeikh Muthowa’ al-dahan dengan hotel dalam 50 langkah sahaja (mengikut kiraan oleh Haji Rosli), dan rasa gembira sungguh dapat berjumpa Pakcik Derame, saya terus duduk di sebelahnya. Tapi lelaki Kelate ini nampak begitu sugul.
“Pakcik tak berapa sihat. Masjidilharam baru pergi sekali. Pakcik sembahyang di surau saja.”
Saya termangu. Tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Dalam tiga minggu baru sekali ke Masjidilharam? Tentulah sewaktu menunaikan umrah yang wajib. Tekaan saya itu tepat.


“Pakcik dapat buat umrah baru sekali. Lepas habis saie, rasa tak larat benar. Nasib baik ada petugas Tabung Haji tolong hantarkan pulang dengan van.”
Saya hanya mengangguk kecil. Masih tiada ayat mahu diucapkan.
“Tiga hari lepas cuba buat umroh sekali lagi. Doh siap pakai ihram. Belum sempat naik van, pakcik reboh!” Mulut muncung dan telunjuknya menuding ke arah tangga hotel. Di depan tangga itulah parkir beberapa buah van – servis menghantar jemaah ke Tanaim, kemudiannya berpatah balik ke Masjidilharam.
Apabila azan sudah berkumandang, saya tuturkan apologi kepada Pakcik Derame. Ketika melangkah ke Masjid as-Syeikh Muthowa’ al-dahan, tidak datang disingkirkan daripada minda bermain-main lintasan tentang nasib yang menimpa Pakcik Derame.

Maka tidak dapat dielakkan datang juga prasangka: ‘Dah beriya sangat minta sejak dari Madinah lagi, mahu umrah sekali saja. Ikut sunnah Nabi. Itulah yang dia dapat!’
Permisi. Wassalam.


nota: tawaf dan saie menuntut kondisi fizikal dan mental yang stabil dan bagus.
foto 1 & 2: jemaah yang tidak larat, biasanya berehat di tepi laluan ketika ulang-alik melakukan saie. yang tidak berupaya dibantu oleh keluarga atau mengupah si tukang tolak.
foto 3: yang sihat pun, selepas tawaf, mesti rehat sambil minum air baraqah yang sungguh nikmat.

MEMORI HAJI 2010: “Kawe ikut Nabi je!” (bhgn 2)

Suatu waktu yang lain saya bertemu lagi dengan Pakcik Derame. Kali ini di Klinik TH bersebelahan dengan dewan makan. Saya sampai lebih awal daripadanya, lantas angka menunggu kurang daripada lima. Pakcik Derame dapat giliran ke-12. Kerana sudah kenal (dah mesra pun) dan rasa ehsan kepadanya sebagai orang yang lebih tua, saya sukarela bertukar nombor giliran dengan Pakcik Derame. Gembira benar dia. Ceria sekali. Berkali-kali diucapkan penghargaan kepada saya. Seperti pertemuan pertama di kaunter TH, begitulah jugalah gelagat lelaki dari Kelate ini. Kalau bercakap tak reti nak control suara.

Dengan loghat Kelate yang pekat dan suara yang kuat, tentulah orang-orang yang menunggu di ruangan luar klinik itu dapat mendengar dengan jelas segala butir percakapannya dengan saya. Jadilah perkara yang tak sedapnya di hati. Ada jemaah yang memberikan ‘jelingan tidak molek’ dan buat memek muka tanda protes . Rasa saya, beberapa orang ‘penunggu panggilan masuk ke klinik’ ini tidak puas hati kerana giliran mereka dilompati Pakcik Derame. Jelingan itu seperti ingin menyampaikan sindiran begini: ‘kalau datang lewat, tunggu sajalah!’ atau mungkin juga begini: ‘kenapa tak beri saja nombor awal itu kepada aku? sakit aku lebih teruk daripada dia!’
Padahal bukan lelaki dari Kelate ini yang minta atau merayu, saya yang sukarela bertukar nombor dengannya. Tiada siapa yang menjadi lebih sakit kerana perbuatan saya itu. Tiada sesiapa pula yang cedera parah kerana itu. Kalau ada pun, yang ‘sakit hati’ saja.

Ugh, barangkali saya silap tafsir. Mungkin ‘penunggu giliran’ yang lain-lain itu tidak sedap telinga mendengar suara Pakcik Derame yang kuat (ketawa dan tuturnya). Bertutur dalam loghat Kelate dan kuat pula volume suara, mudah disalah tafsir orang yang tidak mengerti. Mudah sekali mereka akan melabelkan: ‘Ah, gedebe amat kedua-dua orang ini!’

Ugh, melayan kata hati orang lain boleh buat kita bengong. Lebih baik buat hal kita dan istihgfar saja.

“Pakcik Derame sakit apa?”
Dia menarik naik kaki seluarnya hingga nampak habis betisnya. Dijulurkan kakinya kepada saya.
“Habis pecoh. Dah tubik darah pulok!” Ugh, masih kuat lagi suaranya. Padahal nak tunjuk kepada saya seorang, yang duduk bersebelahan.
Saya lihat tumit dan ibu jari Pakcik Derame merekah. Kering dan kecut kaki yang tua ini.
“Doktor pesan doh, kena pakai selipar pergi masjid. Tapi tiga empat kali selipar hilang. Kaki ayam balik ke hotel!”
Ini sudah kes naya. Parah sekali, pak! Berkaki ayam di laman Masjid Nabawi jika waktunya antara Zohor dengan Asar, panas sungguh. Teriknya tiada bandingan dengan kepanasan di Tanah Bonda. Boleh masak tapak kaki jika mahu digagahi juga! Saya pernah alaminya – kehilangan selipar dan cuba menapak balik ke hotel. Saya tidak sanggup berjalan hatta tiga langkah di atas laman Masjid Nabawi hanya berkaki ayam. Walaupun terkembang payung gergasi di laman berkenaan, tidak semua kawasan yang luas itu terlindung daripada panahan mentari. Tidak tertahan kita dengan bahang kepanasan yang terperangkap di permukaan marmar yang menjadi lantai laman masjid tersohor ini.
Kes kehilangan selipar atau kasut di Masjid Nabawi kejadian biasa dialami jemaah. Biasanya juga bukan selipar yang hilang, tapi kita sendiri yang terlupa tempat letaknya. Masuk pintu lain, keluar pintu lain, memang lumrah terjadi kepada para jemaah kita. Jika masuk ikut Babussalam, keluarnya pula melepasi pintu Makam Rasulullah, sahih tidak akan jumpa kasut atau seliparnya. Walaupun disediakan rak di dalam masjid, jadi masalah pula jika terlupa pula nombor rak! Kita sembang lain tentang hal ini. Bercerita pengalaman sendiri hilang selipar dan kasut beberapa kali di Masjid Nabawi.

Berbalik kepada keluh-kesah Pakcik Derame kerana kakinya merekah dan berdarah itu, sebenarnya saya juga mengalami rekahan di tumit.Tapi tidak pula serius macam Pakcik Derame. Lagipun rasa-rasanya saya ini termasuk di dalam golongan insan yang sangat bernasib baik, dirahmati Allah Yang Maha Penyayang. Kerna dianugerahkan-Nya kepada saya seorang isteri yang profesionnya berkaitan dengan perubatan.

Jadinya, dalam soal kesihatan dan kesakitan sepanjang menjadi Tetamu Allah, saya tidak khuatir sangat. Saya punyai ‘penasihat perubatan peribadi’ (selalu saya guraukan sebagai penasihat ‘peribodi’) yang sangat boleh diharap, taat dan tidak berbelah kasih sayangnya. Lantas bekalan losyen (aques cream)untuk merekah dan kering kaki sudah dibawa bekal dari Tanah Bonda lagi.

Tumit keras dan merekah, sikit saja, tiada darah setitik jua. Cuma bolehlah dijulur kaki kepada Pakcik Derame, sekadar nak tunjuk bukan dia seorang yang merekah kaki, saya pun kena juga! Saja muslihat nak ambil hatinya. Taklah dia gundah-gulana seolah-olah musibah merekah kaki itu terkena kepada dia saja. Cuma Pakcik Derame ini gedebe-nya tak kendur. Cakap kuat tak kontrol. Ketika saya bertanya kepadanya: “Pakcik Derame ada kencing manis ke?”

Bunyi macam orang mendengus dia menjawab. Serius pula mukanya. “Ish demo ni! Kawe mana ada kencing manis. Penyakit macam itu tak hinggap kat kawe! tengok buku ni! molek belaka!”
Termalu juga saya kerana tidak terjangka Pakcik Deramen jadi sensitive ditanya soalan tentang diabetes. Saya rasa macam kena jerkah pula!

Pada suatu malam saya bermimpi. Jelas sungguh tertayang suasana di sebuah wad. Seorang lelaki tua terbaring di atas katil. Tenat nampaknya dia. Jelas sungguh, yang terbaring itu ialah Pakcik Derame!

Saya ceritakan mimpi itu kepada Yang Tersayang. Saya ajak dia bersama-sama ke bilik Pakcik Derame (biliknya di tingkat tujuh Hotel Movenpick). Khuatir juga jika lelaki gedebe dari Kelate itu benar-benar uzur seperti bayangan dalam mimpi saya. Yang Tersayang minta saya pergi periksa terlebih dahulu betul tidaknya Pakcik Derame sakit. Saya fikir kerana baru balik dari ziarah Masjid Quba', mungkin Yang Tersayang mahu rehat dulu. Barangkali mahu memujuk supaya tidak merajuk (selama tinggal di Madinah ini hati mudah terasa, pak!), Yang Tersayang berjanji jika benar serius dia akan menyusul segera. Segan katanya mahu pergi bersama saya ke bilik jemaah lelaki yang tidak dikenalinya.

Saya akur dengan permintaannya, kemudian terus turun ke medan selera untuk membeli dua sandwich – telur dan daging. Mahu dibawakan ole-ole untuk Pakcik Derame.

Mohon permisi di sini dulu. Kisah lanjut tentang Pakcik Derame bisa kita sambung lagi. Wassalam.

foto 1: peringatan daripada Klinik TH
foto 2 & 3: panas terik & teduh nyaman - suasana yang berbeza di laman keliling Masjid Nabawi

Selasa, 19 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “Kawe ikut Nabi je!” (Bhgn 1)

Berapa kali buat umrah? Cadang nak buat umrah banyak mana?
Itu soalan lazim ditujukan kepada kita. Tak kiralah jika kita ini akan menunaikan fardhu haji atau umrah. Soalan yang nampak mudah dan memang dijangkakan: ‘mesti menjadi soalan cepumas’ kepada kita, sama ada di ambang akan berangkat ke Tanah Suci ataupun sewaktu sudah pulang ke Tanah Bonda. Kadangkala rimas juga diajukan soalan yang serupa berulangkali oleh sanak-saudara dan sahabat-handai yang datang berkunjung tidak serentak dan tidak berjadual.

Rimas tetapi kena jawab juga. Takut orang yang bertanya silap tafsir kita ini pergi umrah atau haji macam melancong atau melencung pula. Serba salah juga mahu menjawabnya, kerana orang yang bertanya kadangkala nampak gelagatnya sudah mempunyai tanggapan sendiri terhadap kekerapan seseorang jemaah melaksanakan umrah. Jika dijawab ‘hanya tiga kali’, kena pula yang bertanya itu orang yang pernah pergi haji atau umrah, maka dijuih bibir kepada kita. Responnya pula seolah-olah menyindir: “Duduk sebulan di Mekah, umrah hanya buat tiga kali? Waktu lain buat apa? Shopping? 24 jam duduk di Masjidilharam?”

Sangat haru kita jika yang mulut tak ada penapis itu statusnya senior dalam famili. Nak dijawab (beri penjelasan sebenarnya) khuatir dikatakan kurang ajar. Baru balik dari Mekah dah nak tunjuk pandai. Tak hormat orang tua-tua yang dah lima kali tunaikan Haji!

Menjadi masalah juga jika kita menjawab terlebih dulu sebelum orang lain bertanya soalan cepumas itu. Barangkali kerana sangat berpuas hati hajat tercapai atau pesanan arwah ibu terlaksana, dengan terharu (tanpa ditanya sesiapa) kita memulakan cerita kepada tetamu: “AlhamduliLlah, dapat saya tunaikan umrah sebanyak tujuh kali. Nikmat sungguh rasanya.”

Jangan pula kita terbeliak mata jika terdengar komen begini: “Takkan itu pun nak beritau orang lain. Pergi ke Mekah ikhlas. Nak tunai ibadah. Abdikan diri kepada Allah, bukan mahu tunjuk riak. Buat banyak kalau tak mabrur, apa faedahnya?”
Akan bertambah panaslah telinga jika dipanjangkan ulasan itu: “Tak disebut di dalam Quran. Tak ada dalam hadis mesti kena buat tujuh! kalau mampu, kalau mahu, nak buat dua puluh kali umrah pun tak apa. Sunat belaka. Yang wajibnya hanya sekali!”

Hakikatnya, apabila kita sendiri yang terpanggil menjadi Tetamu Allah, ketika di Kota Suci Madinah lagi soalan yang serupa berlegar di kalangan para jemaah: “Rasa-rasanya rancang nak buat berapa kali umrah?”
Sewaktu di Kota Suci Mekah pula soalannya kira-kira begini: “Dah buat umrah berapa kali?”

Walaupun bukan itu yang diberikan keutamaan dalam mana-mana kursus haji – kursus asas, kursus intensif atau kursus perdana – orang kita masih tinggi keinginan mahu tahu rancangan orang lain. Err, termasuklah saya!

Suatu hari (ketika masih di Madinah), saya sedang menunggu giliran untuk urusan di kaunter TH di Hotel Movenpick. Kerana nombor saya masih jauh, mata pun sibuk memantau kalau-kalau ada kenalan yang boleh diajak berbual-bual. Tiada sesiapa yang saya kenali di situ. Tidak teman sebilik, tidak juga kenalan di dalam kapal terbang atau ditemui di mana-mana kursus haji.

Lagipun rasa segan mahu menegur kerana ramainya di situ datang dengan pasangan masing-masing. Kenalah beri peluang mereka duduk dekat-dekat. Waktu lainnya boleh rapat-rapat dengan pasangan ialah ketika ‘acara melontar awal’ (kita bicara yang ini kemudian), duduk di dalam bas menyertai program ziarah, sewaktu ceramah, dan semasa makan. Perpisahan tetap berlaku ketika sampai waktu tidur di Movenpick, dan sewaktu beribadat di ruang solat di Masjid Nabawi. Ketika dalam bas berangkat ke Mekah, barulah jemaah kembali duduk dekat lama-lama dengan pasangan.
Tidaklah pula saya duduk di kerusi kerana terasa selesa pula berdiri tidak jauh daripada meja kecil tempat ambil nombor giliran. Lagipun dapat memerhati gelagat jemaah yang datang dengan pelbagai urusan di situ. Puas berdiri, saya akan jalan-jalan di sekitarnya. Jalan santai melepasi dewan makan, hingga ke klinik TH.
Sewaktu berpatah balik, tempat saya berdiri awal tadinya sudah diambil-alih seorang lelaki. Sekilas melihat raut wajahnya, saya terfikir: ‘bisa ditegur pakcik ini. Nampak segak dan ramah!’

Selepas bersalaman, tahulah saya dari mana asalnya. Lelaki berbaju batik lengan panjang itu minta saya memanggilnya ‘Pakcik Derame’. Kerana saya boleh bercakap loghat Kelate dengan baik, maka panjang jugalah sembang dengannya.
Lama berbual, jadi gatallah mulut saya melontarkan tanya: “Pakcik Derame nak buat umrah berapa kali?”

Secara berseloroh tapi kuat sekali suaranya, cepat sungguh dia menjawab: “Kawe ikut Nabi.Buat umrah sekali je. Dok soh susah-susah! Buat hok wajib je!”
Permisi. Wasslam.
(kita bisa ketemu lagi dengan kisah lain Pakcik Derame)

foto 1: pandangan di antara dua buah hotel: payung gergasi Masjid Nabawi. Di sebelah kanan ialah Hotel Movenpick.
foto 2: taklimat akhir sebelum bertolak ke Mekah.

Isnin, 18 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “Tak adil macam ini! Bila giliran saya?”

Suatu hari riuh juga dalam bilik saya apabila rakan-rakan (tujuh orang semuanya) gurau-senda tentang Bilik Baraqah. Macam-macam cerita yang terbit (dikutip daripada pengalaman penghuni bilik yang lain), dan suasana makin membingar apabila masing-masing saling usik-mengusik ‘siapa antara kami yang akan masuk ke dalam buku senarai tempahan’ bilik berkenaan. Timbul juga idea nakal supaya kami sebilik berpakat buat jadual penggiliran tempahan supaya kunci Bilik Baraqah tidak jatuh ke tangan jemaah yang lain, sehinggalah semua teman sebilik sudah dapat giliran masing-masing.

Kelakarnya, ada pula yang berasa segan untuk menempah bilik itu kerana yang menjadi ‘penjaganya’ ialah staf wanita! Ugh, orang jantan kadangkala begitu sifatnya. Sesama kawan-kawan bergegar bilik macam nak runtuh siling. Sampai masa mahu praktis, masing-masing tolak-menolak pula dengan alasan-alasan enteng. Mungkin betul juga malu yang disebutkan itu kerana syarat utama untuk menempah Bilik Baraqah: hanya suami yang boleh datang menempah bilik, dan mengambil kunci serta menyerahkannya kembali. Boleh merah muka juga jika terlewat memulangkan kunci. Maksimum boleh guna bilik itu hanya dua jam. Bayangkan kalaulah jemaah tertidur. Mudah sangat boleh lajak sampai lima enam jam!

Dengar cerita, jika kunci lewat dikembalikan, staf TH yang bertugas akan datang menuntutnya hingga ke bilik penginapan! Benar dan betul tindakan itu kerana tentu ramai orang lain yang ‘menunggu giliran’ untuk mendapat kunci. Jika ada jemaah yang melewat-lewatkan pemulangannya, maka ‘akan terganggulah jadual’ orang lain yang sudah tulis nama dalam buku tempahan!

Namun begitu terdengar juga suara sinis kerana rancaknya kami membicarakan soal itu. Pedih telinga apabila tujuan utama ke Tanah Suci menjadi ungkitan: “mahu layan nafsu, atau mahu tunai ibadat? Banyak habis duit datang sini, nafsu itu pula jadi utama!”

Wow, kalau tengah makan biskut boleh tersedak jadinya dengar komen sebegitu. Kadangkala begitulah, orang kita (kenalan saya tadi) semacam mahu menghukum ‘memadu kasih-sayang’ di Kota Suci seolah-olah maksiat pula. Padahal tiada mengganggu ibadat dan tidak salah dari segi moral atau agama. Yang penting: jangan bermadu kasih ketika dalam ihram!

Ada pula yang memberitau betapa sang isteri terus masam muka apabila si suami membisikkan hajat. Alasannya: malu kepada teman sebilik yang lain. Segan diperli rakan-rakan. MasyaAllah, kenapa dengan orang kita? Malu melakukan perkara yang halal di sisi agama? Lagipun kalau malu sangat, kenapa beritau orang lain ke mana kita nak pergi? Ugh, ini sudah jadi kes “malu tapi mahu, pak!”

Pertama kali saya dengar tentang Bilik Baraqah ini ketika mengikuti Kursus Haji Intensif di sebuah masjid di Bandar Tun Razak – dua hari sebelum Ramadhan tahun lepas. Saya tidaklah endahkan sangat kerana ia disebut secara gurauan sahaja oleh penceramah. Ustaz berkenaan menyelitkan lucu kes seorang jemaah wanita datang bertemunya ketika dalam ihram. Masalahnya? Wanita berkenaan memberitau: dia naik gelora kerana lihat suaminya begitu seksi dalam pakaian ihram!

Sewaktu kami satu famili menunaikan umrah pada hujung Mei 2009, tiadalah pula 'bilik itu' menjadi topik hangat di kalangan jemaah atau ditimbulkan oleh ustaz ketika kursus umrah di surau Bangunan TH (Jalan Tun Razak). Fikir saya, mungkin umrah hanya sembilan hari, lantas soal 'memadu kasih' tidak diberatkan dalam kursus umrah kerana bilik sebegitu bukan suatu keperluan dan kehendak utama para jemaah.

Saya rasa kerana tinggal di Madinah dan Mekah total harinya boleh cecah hingga 52, maka Bilik Baraqah menjadi sub-topik dalam Kursus Haji Intensif. Saya tidak ingat sewaktu Kursus Haji Perdana di Masjid Shah Alam disebut atau tidak hal ini oleh mana-mana penceramah. Jika disebut pun saya rasa tidak ramai jemaah yang ambil peduli kerana kursus dua hari satu malam di Masjid Negeri itu sangat padat dan meletihkan.

Sewaktu seorang sahabat saya datang menziarah tiga minggu sebelum kami berangkat ke Tanah Suci, sekali lagi Bilik Baraqah jadi sebutan. Sahabat saya itu (seorang lelaki yang budiman sebenarnya) menimbulkan tentang bilik itu kerana pengalaman agak lucu dialaminya ketika menunaikan Rukun Islam yang kelima itu pada tahun 2009. Lucu kerana dia rasakan betapa ‘takdir sungguh menyebelahinya’. Apakan tidaknya? Staf bertugas mengendalikan Bilik Baraqah (dan tentulah kuncinya sekali) merupakan kawan lamanya ketika di bangku sekolah! Bukan sahaja urusan tempahan mudah jadinya, malahan kawan lamanya itu boleh berpesan lagi: “Kalau kamu mahu biliknya, kasi tau, bila-bila masa pun boleh!”

Suatu hari saya punyai musykil mahu dipanjangkan kepada Ustaz Shapawi. Ketika sampai di ruang depan pejabar TH, ramai orang berkerumun. Saya cuba mencelah. Seorang staf menegur: “YB Menteri ada di dalam!” Nada tuturannya dan gerak badan memberikan isyarat kepada saya supaya jangan masuk – mengganggu aja! Terbakar rasa dalam hati yang menggetus: “patutnya Pak Menteri yang menjaga urusan haji datang, lagi mudah jemaah nak jumpa. Mana boleh disekat-sekat.”

Saya menyusup juga tanpa mempedulikan tegahan itu. Akhirnya, dapat saya berdiri paling depan ketika Pak Menteri sedang beramah mesra dengan petugas TH dan beberapa jemaah yang sudah dipilih terdahulu untuk diketemukan dengannya. Dapatlah juga saya tangkap gambar Pak Menteri, dan bersalaman dengan beliau.

Sewaktu suasana pejabat sudah agak lengang, saya masuk dan santai di ruangan menunggu. Ustaz Shapawi belum masuk. Saya mengambil keputusan menunggu sahaja di situ kerana di lobi masih sesak dengan jemaah yang mengerumuni Pak Menteri.
Dalam sepuluh minit berlunjur dan kadang-kadang bersila di atas kerusi, saya terperasan kelibat seorang jemaah kepala licin, pakai singlet pagoda berseluar Melayu biru gelap, yang keluar masuk tiga empat kali ke dalam pejabat TH. Gelisah sekali lakunya. Setiap kali masuk, dia akan mendekati meja yang tengah – di situ bertugas staf wanita yang ‘menjaga kunci’ Bilik Baraqah!

Kali keempat keluar, bergeselan bahu dia dengan seorang jemaah lain yang masuk tergesa-gesa. Kedengaran kemaafan dipinta kerana kelewatan memulangkan kunci. Lelaki kepala licin baju pagoda tidak jadi keluar, dia bersandar di frem pintu sambil berpeluk tubuh. Mukanya disapu cepat beberapa kali.

Ketika jemaah yang baru masuk itu baru separuh jalannya melangkah keluar, lelaki kepala licin cepat-cepat melangkah ke meja tengah. Lakunya seperti mahu menghadang orang lain daripada mendahuluinya. Dapat sahaja kuncinya, langkahnya nampak panjang sungguh menuju ke pintu!

Beberapa detik saja, muncul seorang lelaki lain yang lebih muda. Saya agak awal empat puluhan. Dengan wajah serius dia merapati meja yang tengah. Entah apa butir dibicarakan dengan staf wanita penjaga kunci Bilik Baraqah saya tidak dapat tangkap. Cuma ketika dia bangun dan berpusing mahu ke muka pintu semula, saya agak terkejut kerana tinggi dan agak kasar dia bersuara: “Tak adil macam ini. Orang lain tak pulangkan kunci, saya dapat susah. Saya dah tunggu lama. Bila nak sampai giliran saya?”

Nampak gayanya, pihak pengurusan TH perlu beri perhatian juga untuk mempertingkatkan pengurusan Bilik Baraqah ini. Orang jantan kalau sudah naik syeh, kepala sudah pening lalat, buruk lakunya! Boleh bertukar jadi kerbau jantan naik minyak!

Barangkali ini juga padahnya jika terlebih guna 'minyak power' yang dijual pemuda Afrika!
Permisi. Wassalam.

foto 1: Ketika ceramah, biasanya jemaah duduk dekat-dekat dengan pasangan.
foto 2: Hakikatnya, banyak waktu mereka tinggal terpisah. Misalnya, ketika di Arafah.

Jumaat, 15 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “NAK CUBA DULU, POWER TIDAKNYA!”

Menginap di Hotel Janadriyah, yang jaraknya kira-kira 850meter dari MasjidilHaram, memang selesa sungguh. Di sini ada pelbagai kemudahan untuk jemaah haji Malaysia. Kafeteria, dobi, farmasi, klinik, gerai (jual wangian, telefon, buku, poster, al-Quran digital, coklat, kurma, dan cenderamata). Bahkan pejabat Tabung Haji (TH) stesennya di sini. Semua jemaah yang tinggal di Hotel Janadriyah datang menunaikan haji melalui Muassasah. Tapinya, jemaah yang datang secara pakej atau melalui syarikat swasta (mahal, pak!) harus datang ke sini juga untuk menyelesaikan banyak urusan mereka.
Jika dibandingkan dengan penginapan kami ketika di Madinah (Hotel Movenpick), jauh amat bezanya. Di Madinah, hotelnya bersebelahan Masjid Nabawi. Biliknya pula amat selesa, bahkan tv satelit pun ada! Lima bintang, pak!
MasyaAllah! Usah panjang-panjang ngomel tentang selesa atau tidak Janadriyah ini. Kita bicara itu lain kali.
Yang pentingnya: pelbagai urusan berkaitan ibadah haji dan umrah tersedia di sini. Malahan jika mahu pos air zam-zam, beg yang besar-besar, permaidani atau barangan lain ke Tanah Bonda (khuatir lebih timbangan ketika mahu terbang pulang), ada agen yang memberikan servis di lobi dan di kedai seberang jalan depan hotel ini.
Saya perhatikan, sejak di Hotel Movenpick lagi jemaah sudah 'bertungkus-lumus' ikat kotak dan beg yang mahu pos awal ke Tanah Bonda. Di Madinah lazimnya tamar ajwa dan amber (paling bagus) yang dihantar pulang melalui servis kurier ini. Di Mekah pula, saya pernah lihat penghuni Hotel Janadriyah yang pos empat guni barangan sekaligus!
Peniaga di Mekah ini bijak. Di karnival beli-belah berhampiran Masjid Kucing, ada yang jual permaidani pakej dengan servis bungkus dan boleh hantar terus ke Tanah Bonda tanpa perlu beban suami pikul ke hotel! Lantas, sakan orang kita membeli dan bungkus permaidani di situ!
Saya fikir, khidmat yang sangat penting di hotel yang jadi stesen TH ini ialah: Jemaah mudah bertanya kalau timbul musykil mengenai hal-hal tertentu ibadat haji. Guru pembimbing TH bagus-bagus dan kerja keras. Perlu sekali saya sebut: Ustaz Shapawi memang yang terbaik. Ceramahnya sentiasa full-house. Ilmunya mantap, pengalamannya luas. Moga Allah rahmati beliau dalam kehidupan seharian dan diberkatiNya dalam pekerjaan. Ameen.
Di sini juga tinggal anggota Panel Pakar Rujuk Haji. Seorang daripada mereka yang beberapa kali saya lihat di ruang lobi hotel, dan pernah pula saya menghadiri ceramahnya ialah Ustaz Dr Othman el-Muhammady (fellow IKIM).
Usaha pejabat TH di Janadriyah untuk membantu meningkatkan kefahaman para jemaah memang terpuji. Kerana tidak mungkin semua jemaah yang cecah angka tujuh ribu di hotel ini boleh bertemu secara bersemuka dengan guru-guru pembimbing haji, maka ada inisiatif untuk mencetak pendapat daripada panel pakar tentang pelbagai permasalahan ibadah. Ramai juga jemaah yang berhenti membaca rumusan, pandangan dan fatwa yang ditampal di beberapa tiang besar di lobi.
Saya pula, jika berselisih pendapat di kalangan ahli bilik mengenai rukun haji dan umrah, maka helaian di tiang-tiang itu saya rujuk dulu sebelum bertanya kepada ustaz di pejabat TH. Biasanya, jika sudah membaca penerangan di tiang-tiang itu, rasa-rasanya tidak perlu berjumpa dengan ustaz atau ustazah pun. Terang lagi bersuluh. Huraiannya memang terperinci dan amat bermanfaat.
Di tingkat bawah Hotel Janadriyah juga ada ‘bank TH’. Memudahkan urusan pengeluaran wang untuk bayar dam (kalau ingin lakukan sendiri), korban, upah haji, upah melontar, upah tolak kerusi roda ketika tawaf, dan tentulah juga untuk perbelanjaan harian serta membeli-belah. Mudah sekali nafsu membeli-belah jemaah haji meningkat kerana di kiri kanan sepanjang jalan ke MasjidilHaram deretan kedai macam tidak putus-putus hinggalah ke jalan besar. Macam-macam ada. Sebut apa saja yang biasa dibawa balik sebagai ole-ole untuk sahabat-handai dan sanak-saudara di Tanah Bonda, bisa dijumpai di sini. Tak usah khuatir. Tapi runsing datang jua. Kepala boleh pening kerana kantung cepat sekali kempis di sini. Acap benar kena pergi semula ke ‘bank TH’. Di sepanjang jalan menuju BaitulLah, terdiri bangunan rumah kedai berselang dengan hotel kecil dan restoran.
Berhampiran Masjid Kucing (kira-kira 300meter dari MasjidilHaram) pula, didirikan khemah-khemah di atas suatu dataran yang luas, terjual pelbagai barangan untuk keperluan ibadah, dan bermacam-macam barangan lain yang tentunya bisa saja memenuhi kehendak nafsu berbelanja yang sukar dibentung. Persis suatu karnival beli-belah pula jadinya di situ.
Selain deretan kedai dan khemah-khemah berkenaan, ada juga peniaga kecil-kecilan mencari rezeki. Di tepi tangga, agak rapat ke dinding, betul-betul selepas pintu lobi Janadriyah, bersila kurang-kurangnya lima wanita (Indonesia dan Afrika) menjual tasbih, kopiah, madu, gelang dan anting-anting. Empat lima orang pemuda Indonesia berpakaian jubah, asyik membilang tasbih, dan berserban pula, memang menjadikan tempat itu untuk bincang-bincang dengan jemaah yang berhajat mahu menunaikan upah haji atau korban. Di depan tangga pula, berkumpul tiga empat orang Arab (pemandu van) yang menyediakan servis pengangkutan ke MasjidilHaram atau ke Tanaim (untuk niat miqat umrah).
Suatu hari, ketika tergesa-gesa mahu ke kedai runcit di sebelah Hotel Janadriyah (mahu membeli mi segera dan telur), saya disapa seorang lelaki Bangladesh. Dia menuturkan sesuatu, malangnya saya tidak faham. Ditunjukkan botol kecil hitam warna isinya. Jari telunjuknya digerak-gerakkan ke atas beberapa kali. Mudahlah saya faham. Dia mahu menjual 'minyak power’ dengan harga 50rial (pandai pula dia mengira dalam bahasa Melayu). Saya rasa rimas kerana tidak faham apa yang dikatakan. Lagipun, saya mahu segera ke kedai runcit. Perut mahu diisi dengan mi segera dibubuh di dalamnya telur rebus.
Lelaki Bangla itu memegang tangan saya dan menyebut: “haji, dua puluh rial!”
Saya menggelengkan kepala dan cuba melurut tangannya.
Apabila saya dapat melepaskan lengan, dan bergegas ke kedai runcit, tertangkap juga di telinga lelaki Bangla itu menjerit: “sepuluh rial, haji! bagus!”
Ugh, yang lapar perut. Bukan nafsu yang lain. Lantas mi segera terendam telur separuh masak di dalamnya menjadi lebih 'power' daripada minyak di dalam botol kecil!
Pada hari yang lain, sewaktu keluar dari lif, seorang jemaah Malaysia menyapa saya: “Haji ada sakit kaki? lenguh-lenguh badan? sengal-sengal betis?”
Saya hanya tersenyum kerana sapaan itu mendadak datang daripada orang yang saya tidak kenali.
Melihat saya tidak respon, lelaki berbaju Melayu dan berkopiah itu menambah: “Cuba minyak burung unta. Bagus. Sapu tak payah gosok. Mujarab. Saya dah cuba!”
Kerana bersungguh-sungguh benar dia, maka selepas bersalaman saya segera keluar dari lobi. Tak jadi mahu santai – mamah karipap dan teguk kopi di cafeteria. Sejak dari Madinah lagi paha kanan saya sakit. Terasa macam ada papan sekeping di situ. Tapi tidaklah pula hingga tidak boleh berjalan. Cuma tidak selesa. Pergi ke klinik Janadriyah, doktor berikan ubat sapu. Tidak pula terasa kurangnya. Otot di paha kanan masih terasa kejang. Lantas, apabila seorang jemaah yang tidak dikenali tiba-tiba menyapa dan memberitau khasiat minyak burung unta, saya rasa teruja sungguh mahu mencubanya.
Saya tahu di mana mahu mencari minyak burung unta itu. Tiada lain yang menjualnya di sini. Ada dua tiga orang pemuda Afrika yang menjual pakaian dan ubat-ubatan. Peniaga kecilan tepi jalan ini lebih mudah ditemui di masjid sebelah Hotel Janadriyah. Tapi kalau sudah agak lama lepas waktu solat, biasanya mereka akan berniaga di seberang jalan tidak jauh daripada kedai runcit Patani.
Setelah terjenguk-jenguk beberapa minit, mencelah jemaah yang lalu-lalang, saya nampak pemuda Afrika itu sedang berbual dengan seorang jemaah Malaysia.
Ah, rupa-rupanya jemaah Malaysia yang berbaju batik lengan pendek, berkopiah dan berseluar slek itu sedang berurusan mahu membeli minyak dalam botol kecil. Sama macam ‘minyak power’ yang mahu dijual lelaki Bangladesh kepada saya beberapa hari sebelum itu. Sewaktu jemaah Malaysia itu akan berpergian, saya sempat berbisik kepadanya: “Menjadi atau tidak? dah pernah cuba?”
Termalu juga nampaknya dia. Tapi cepat pula dijawabnya begini: “Belum tau. Pakcik nak cuba dulu. Baru tau power tidaknya!”
Saya mengusiknya lagi: "pakcik kena tempah bilik baraqah cepat-cepat!"
Kami sama-sama ketawa kecil.
Malangnya, hajat saya untuk mendapatkan minyak burung unta tidak kesampaian. Pemuda Afrika itu kehabisan stok. Dihulurkan kepada saya minyak yang lain jenama. Gambar yang tertampal di botol menyatakan jenisnya. Minyak Unta. Harganya sepuluh rial.
Orait. Asal ada nama ‘unta’ kira boleh saja!
Permisi. Wassalam.

nota: Bilik Baraqah disediakan di Hotel Janadriyah, dikhaskan kepada jemaah yang mahu 'memadu kasih-sayang' dengan pasangan masing-masing. Kaedah tempahannya: siap cepat, dia dapat!
foto 1: Ustaz Shapawi yang popular dan sangat komited.
foto 2: Risalah penerangan permasalahan Haji & Umrah ditampal di tiang-tiang besar lobi Hotel Janadriyah.
foto 3: Penjual ubat dari Afrika.
foto 4: Pelbagai ubat yang dijual di tepi masjid bersebelahan Hotel Janadriyah.