Karya

Karya

Rabu, 13 Julai 2011

“DEMONSTRASI DI ATAS BUMBUNG, SEBELUM 9 JULAI 2011”

Jumaat petang. Kira-kira jam enam.
Saya berseorangan sedang meneguk kopi sambil membelek akhbar. Tiada sesiapa yang menemani. Ney-ney belum balik. Biasanya tujuh petang baru dia sampai dengan teksi Pak Salim. Yang Tersayang pun begitu. Biasanya, petang Jumaat jalan keluar dari Kotaraya Kuala Lumpur agak sendat. Jem sudah menjadi lumrah.
Dek-dek (anak yang tengah) sudah setengah jam naik ke tingkat atas. Katanya mahu berehat. Begitulah gelagatnya pada petang Jumaat jika baru sampai dari kolej. Rehat menjadi keutamaannya. Barangkali hidup sebagai pelajar di pusat matrikulasi penah amat. Barangkali dia belum mahu sembang panjang dengan saya. Mungkin juga, kerana biasanya apabila Ney-ney dan Yang Tersayang sudah balik, Dek-dek lebih galak bercerita. Payah orang lain mahu mencelah. Ugh, Barangkali resmi si gadis, mahu bicara panjang dan details dengan ibu dan adik perempuan sahaja.
Bibik pula bersunyi-sunyi di dalam biliknya. Entah apa dilakukan – mungkin mensterika pakaian, solat atau mengaji atau tidur! Saya pasti dia di dalam biliknya kerana tiada kedengaran pintu dapur dibuka sesiapa, dan tidak berbunyi apa-apa hasil kerjanya memasak atau mencuci pinggan mangkuk. Tidak mungkin membasuh pakaian kerana kerja itu dibereskan pada sebelah pagi saja. Tiada pula kalibatnya menyiram sebaris pokok bunga raya ditanam berselang warna (merah, putih dan jingga), di tepi pagar. Tidak juga lih-lah dia keliling rumah membersihkan longkang. Pasti di dalam biliknya.
Kira-kira dua puluh minit bersantai sorang-sorang, saya dikejutkan dengan bunyi bising dari rumah jiran. Ketika saya mengintai melalui pintu gelonsor, tidak ternampak apa-apa yang mencurigakan. Waspada memang selalu, maklum saja di taman kami ini kejadian pecah rumah kerap berlaku. Jiran terdekat – Zamri – yang saya intainya rumahnya itu lumrahnya tidak balik awal. Tidak pada pukul enam petang. Biasanya, jam satu atau tiga pagi. Cuma isterinya akan balik dalam waktu begini. Tapi kali ini saya tidak nampak pula Harrier biru gelap (yang selalu dipandu isterinya) di laman rumah Zamri.
Tidak sempat saya duduk semula, bunyi bising seperti sesuatu yang keras dan besar jatuh di lantai simen kedengaran lagi. Kali ini saya memerhati lebih teliti.
Ugh, kelihatan seekor monyet agak besar sedang bertenggek di atas bumbung rumah Zamri. Selepas menggaru-garu dada dan leher ia merangkak dengan pantas, membrek kira-kira dua kaki dari hujung bumbung. Monyet itu memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam ruang bumbung yang kosong. Ditariknya kuat-kuat. Sekali lagi bunyi berdentangan tercetus.
Rupa-rupa monyet saiz agak besar itu sedang merosakkan genting bumbung rumah Zamri. Berlubanglah bumbung itu kerana dua keping genting yang menutupnya sudah jatuh ke laman simen. Saya lihat beberapa ekor monyet menghingguk dahan dan ranting di dua pohon besar di belakang rumah Zamri. Galak benar bersahut-sahutan tempikannya. Mungkin tumpang gembira atau mungkin melarang?
Ini bukan kali pertama rumah Zamri diganggu sekumpulan monyet. Sembilan bulan dulu cermin sisi tiga buah keretanya pecah dan terkopak. Begitu juga plet sebuah keretanya turut dipatahkan. Zamri merungut betapa mahal kos untuk diganti cermin sisi yang baru. Betul sekali, kerana kereta-keretanya mewah belaka – Harrier, Mercedez, Honda dan BMW!
Malang sungguh jiran saya ini kerana rumahnya merupakan laluan sekumpulan monyet (besar-kecil, tua-muda, ibu dan anak) meniti untuk ke rumah jiran-jiran yang lain. Sulit dia mahu menyelesaikan masalah ini jika sumbernya (monyet pemusnah) tidak dihapuskan.
Selepas kejadian cermin sisi terkopak dan plet keretanya dipatahkan, Zamri menghubungi PERHILITAN. Dengar khabar, penembak dihantar ke kawasan sekitar kediaman kami. Dengar khabar beberapa ekor monyet tewas tersembam di tanah.
Tapi masalah itu tidak selesai. Monyet kecil-besar, tua-muda masih bermain ngok-ngek di dahan pokok di belakang rumah Zamri. Kumpulan yang sama (mungkin lain, tapi saya nampak sama saja!), masih menggunakan bumbung rumah Zamri sebagai laluan ke rumah jiran-jiran yang lain. Barangkali yang ditembak itu dari kumpulan yang lain. Barangkali yang ditembak itu bukan ketua-ketuanya!
Pihak PERHILITAN datang lagi. Kali ini dengan sebuah sangkar dua kali ganda saiz bubu nelayan. Ditinggalkan pisang seikat sebagai umpan. Kebetulan sekali, pagi esoknya (kerana Ney-ney demam, tidak ke sekolah) saya ada di rumah sewaktu seekor monyet badan besar datang mengintai rezeki yang tergantung, nampak mudah amat diambil.
Saya mengambil keputusan mahu skodeng. Mahu melihat bagaimana monyet itu masuk perangkap. Tidak pernah saya lihat monyet masuk perangkap. Waktu remaja jadi budak kampungan, yang biasa saya terlibat ialah menangkap biawak dan ular sawa. Sesekali ikut orang dewasa tembak musang dan tupai. Tangkap monyet tidak pernah.
Beberapa minit juga monyet besar itu memantau keliling dari atas pagar batu belakang rumah Zamri. Pantas amat ia meloncat dan menghampiri sangkar berkenaan. Terjenguk-jenguk kepalanya ketika sudah hampir ke pintu perangkap. Saya lihat, monyet ini amat hati-hati. Seolah-olah tahu ia bahaya yang menantinya!
Dua kali dia cuba mengambil pisang seiikat yang tergantung di tengah-tengah sangkar. Dua kali ia hanya menghulurkan sebelah tangannya. Kepalanya pula terdongak, matanya waspada kepada pintu perangkap itu. Seolah-olah dia tahu itu adalah perangkap. Kali ketiga, ia lebih berani. Seluruh bahunya sudah melepasi pintu, sebelah tangan memegang erat pisang sesikat. Uniknya, ketika cuba ditarik pisang itu kuat-kuat, kepalanya mendongak ke arah pintu perangkap.
KELENGKANG!
Kuat sungguh pintu perangkap itu bingkas dan tertutup. Tapi si monyet badan besar, amat tangkas. Ia sudah melompat ke belakang, tak tertangkap dek mata. Deras pula ia memanjat dan bertenggek di atas pagar batu. Terhendap-hendap kepalanya ke arah perangkap yang sudah terkatup tanpa mangsa.
Kira-kira lima minit, muncul dua ekor monyet saiz kecil. Bertenggek sekejap di atas pagar batu, kemudian tangkas berlari di laman, terus melompat naik ke atas perangkap. Kedua-duanya tidak bersuara pun ketika galak menghentak-hentak bahagian atas perangkap itu dengan kaki dan tangan. Sasaran monyet-monyet kecil itu ialah pisang yang terikat di dawai penyangkuk. Tidak lama, jatuh semuanya seikat pisang itu. Cepat pula kedua-dua monyet kecil itu turun dan mencapainya. Diretusnya satu-satu hingga habis semua. Dikelek pisang-pisang itu dan dibawa lari. Dalam beberapa saat saja, hilang monyet besar dan kecil di dalam semak. Barangkali tengah kenduri.
Dua hari selepas itu orang PERHILITAN datang lagi. Kali ini bersama sebuah lori kecil dan sebuah pick-up. Perangkap yang diletakkan di laman rumah Zamri diangkat ke atas pick-up. Lori kecil itu pula diparkir di hujung jalan mati perumahan kami. Di situ ada longkang besar menjadi sempadan di antara taman perumahan kami dengan hutan kecil ditumbuhi banyaknya pokok nipah. Beberapa batang pokok tegak dan tinggi yang juga tumbuh di situ selalu juga menjadi tempat bermain monyet-monyet yang bermain di atas bumbung rumah Zamri.
Orang PERHILITAN mendirikan perangkap yang lebih besar dan tinggi. Kira-kira sepuluh kaki tinggi dan lebarnya. Perangkap macam kiub itu terdiri daripada kepingan logam warna merah pudar yang dicantum-cantumkan. Bahagian atasnya tidak ditutup. Di penjuru bahagian bawahnya pula terdapat ruang yang tidak ditutup dengan kepingan logam. Jaring besi sebesar kelengkeng menggantikannya. Di dalam perangkap empat segi itu, bertaburan pisang, maggis dan betik. Masam sekali baunya.
Pada petang esoknya, saya bersama Azua (jiran juga) menghampiri perangkap berkenaan kerana hairan dengan bunyi bising yang keterlaluan sepanjang hari. Ketika kami menghampiri, kira-kira sepuluh ekor monyet yang bertenggek di pohon tinggi dan rendah membuat bunyi macam-macam. Gigi dan taring menyeringai macam nak kerkah kami berdua. Yang hingguk dahan pokok macam cabar ajak lawan pun ada juga.
Kami mengintai melalui jaring besi. Rupa-rupanya dua ekor monyet besar sudah masuk perangkap. Gelagatnya macam orang bengong. Makan pisang pun tidak, bergerak atau berbunyi pun tidak. Hanya mencorong mata, angkat kening dan muncung mulut ke arah kami. Moyok dan lesu belaka. Kerana bahagian dalam perangkap berdinding panel besi itu tiada takuk, tidak bolehlah monyet-monyet itu memanjat keluar. Jika dilompat, memang tak lepas kerana tingginya sepuluh kaki.
Lama juga kami di situ, berteori macam-macam tentang gelagat monyet dan tabiat samsengnya itu. Macam-macam alasan timbul: tiada kawasan monyet nak survive kerna hutan dah habis ditebang; tiada pokok buah-buahan yang tumbuh original di sekitar kawasan kami; monyet-monyet ini buangan dari kawasan lain; serangan monyet kerana dendam terhadap perbuatan kita, merampas hak asasi mereka!
Asyik kami berbual, orang PERHILITAN datang dengan pick-up. Ketika bersalaman, seorang daripadanya menegur perbuatan kami buat sibuk di situ. Rupa-rupanya monyet tidak akan meloncat ke dalam perangkap itu jika dilihat ada manusia berhampiran. Kata orang PERHILITAN itu lagi, lepas ini memang tiada monyet akan masuk perangkap lagi. Ugh, mana aku tahu, pak!
Sebuah sangkar empat segi disuakan di depan panel jaring besi. Sebaik dinaikkan panel berjaring itu, kedua-dua monyet berkenaan cepat-cepat berlari ke situ. Mungkin difikirkan pintu kebebasan sudah ternganga. Ini dikatakan akan “terkejut beruk-lah” monyet-monyet kerana lari dari perangkap besar masuk ke dalam perangkap kecil, yang menjanjikan tiada lain, hanyalah maut! Saya diberitau oleh orang PERHILITAN, kemungkinan besar monyet-monyet itu (kerana saiznya, dianggap sebagai ketua kumpulan yang jadi penyangak di kawasan kami) akan diberikan suntikan maut. Katanya lagi, kepala samseng macam ini, baiknya cucuk kasi tidur terus!
Ketika orang PERHILITAN sudah pergi dengan dua ekor ketua monyet, kami masih berbual-bual berhampiran perangkap yang besar itu. Azua menyebut tentang kawannya (dari taman yang lain) yang pernah terjumpa sebuah sangkar yang serupa, terbenam separuh di tepi Sungai Ramal. Di dalamnya ada dua tiga ekor monyet yang sudah kejang – mati lemas!

Selama sembilan bulan, selepas orang PERHILITAN berjaya memerangkap ketua-ketua monyet yang jadi samseng dan penyangak, jadi aman damai kawasan kami. Ada juga tersebar berita muncul seekor siamang. Ada juga datang sekali-sekala monyet-monyet kurus dan kecil menyelongkar tong sampah yang tidak ditutup rapat.
Kami tidak gaduh sangat tentang itu, kerana kejadian pecah rumah pula yang menjadi-jadi. Kini jiran-jiran sudah berpakat melakukan rondaan secara giliran setiap tengah malam hingga menjelang fajar. Saya bersama teman-teman rapat masuk bertugas jua.
Cuma bidang tugas ‘pasukan kawalan kejiranan’ ini tidak termasuk menggempur dan menangkap monyet juga! Mungkin boleh dicadangkan kepada kawan-kawan untuk difikirkan. Kerana tahun ini, Jumaat (8 Julai 2011), monyet-monyet itu datang lagi. Mungkin sudah muncul ketua yang baru. Cuma yang hairannya, sasaran mereka masih rumah Zamri – jiran saya.
Permisi. Wassalam.

3 ulasan:

  1. Sedap baca cerita mung ni... hehehe

    BalasPadam
  2. kalu mun ada waktu tu, comel benar boleh tangkap gambar. duk perhati lama-lama, gelagat haiwan kecik ni macam ler kita. cuma tak pakai baju, takleh bertutur, takleh buat alat-alat, tak solat (tapi kalu ia berzikir mana kita tau?)dan tak reti fb he3X

    BalasPadam
  3. ganas sungguh demonstrasi sebelum 9 julai, habis semua cermin kereta dan atap rumah dikopak.. demonstrasi hari 9 julai lak berlainan nada.usahkan tiada bangunan yang rosak, malahan tong sampah tidak diganggu..:-)

    BalasPadam