Karya

Karya

Ahad, 28 Ogos 2011

CERITA MELAYU (5): “Ketika Mentari Eidulfitri Sejuk di Cobridge”

(nota awal: Ini merupakan artikel ditulis tahun 2002. Ketika menjadi perantau di UK, antara kenangan terindah ialah sewaktu berkumpul ramai-ramai dengan sahabat-handai yang dah jadi macam famili sendiri.

Saya menulis artikel ini dilatari lagu ‘Suatu Hari di Hari Raya’. Karya hebat satu-satunya biduan tersohor bergelar sifu - M Nasir. Saya kutip bait-bait indah lagu itu, berselang-seli dengan kenang-kenangan manis di perantauan.

Diperturunkan kenang-kenangan itu untuk tatapan sekalian kenalan di alam siber. Semoga diberikan hidayah, keberkatan dan kerahmatanNya di penghujung Ramadhan kali ini. Semoga suria Syawal memancarkan bahagia dan ceria. Ameen
.)

INTRO MUZIK YANG MENUSUK KALBU.
Nadanya bermelankolik bak seruling anak gembala, suara lunak M Nasir membawa minda kembara ke Tanah Bonda. Menebarkan kenangan sewaktu riang ria menyambut hari lebaran bersama sanak-saudara dan sahabat handai. Nyanyian jagoan muzik Melayu itu bisa sekali dibariskan dengan lagu-lagu klasik hari lebaran dendangan P. Ramlee, Saloma dan Fazidah Joned. Menyentuh jauh ke sanubari, liriknya mentafsir dan memberikan makna kepada suasana berhari raya di ‘kampung’ kami kini - Cobridge, terletak dalam ‘daerah pinggan mangkuk’ Stoke-on-Trent, duduknya di wilayah Staffordshire, England.

satu hari di hari raya
kulihat cahaya bersinar indah
langit cemerlang tak terkira
tanda kuasa Yang Maha Kuasa
memberi nikmat kepada manusia.

PAGI SATU SYAWAL. ENAM BELAS DISEMBER.

Ketika Musim Sejuk masih dalam minggu-minggu yang awal, pagi ini mentari bersinar agak galak, muncul lima belas minit lepas jam lapan. Namun duduk di dalam rumah lebih selesa jadinya kerana panahan mentari tanpa perit panas, tidak terkesan apa-apa jua dek sejuk di luar yang memamah sampai ke tulang sum-sum. Panas mentari lenyap, ditelan habis dek sejuk sekitar. Inilah musim ketika mentari sejuk jadinya. Yang bagusnya, langit cerah hujan pun tak tumpah. Cerah alam membawa ceria di satu Syawal yang mulia.

Ah, fenomena alam ciptaan Yang Maha Kuasa. Segalanya itu memberikan peringatan kepada makhluk-Nya yang mahu ingat. Inilah antara nikmat-nikmat anugerah-Nya kepada manusia yang mahu mengerti akan segala nikmat itu. Maka sujudlah kita dalam perlindungan Maha Kekuasaan-Nya.

satu hari di hari raya
kudengar irama yang sungguh indah
kucuba mendekati padanya
bila irama itu adalah
suara pujian pada Yang Esa

oppss. kita gostan dulu.
PADA MALAM RAYA. SETENGAH JAM SELEPAS PUKUL TUJUH. DUA JAM SELEPAS ISYAK.
Dr Salleh berkunjung ke Grove Street bersama ayahnya Pak Samsudin, yang terbang ke sini dengan isterinya Makcik Sapiyah pada minggu terakhir Ramadhan kerana mahu beraya bersama cucu mereka yang pertama - Aiman. Sebagaimana yang direncanakan lebih awal, saya bersama Dr Salleh, Dr Suhaimi, Redzuan dan Saadon saling berkunjungan secara giliran, bertakbir beramai-ramai bermula dari rumah saya, dan berakhir di rumah Dr Salleh di Shelton. Pak Samsudin begitu sporting. Mengepalai kumpulan takbir sampai ke tamat pusingan di rumah Dr Salleh.

Selepas takbir kami berjamu macam-macam. Pisang goreng bersalut tepung Adabi, bihun goreng, dan roti canai cecah kari salmon. Berselera sekali kami menjamah juadah yang disediakan Noni (isteri Dr Salleh), Yang Tersayang, Lina (isteri Saadon), Norjan (isteri Redzuan), Azlina (isteri Dr Suhaimi), dan Makcik Sapiyah. Ketika selesai bertakbir di rumah Dr Salleh, setengah jam selepas sebelas malam, Yang Tersayang dan Azlina datang bersama anak-anak turut menyertai Noni yang sibuk sekali menyediakan sate untuk jamuan Raya.

KETIKA BERTAKBIR.
Ingatan sesekali mengimbau. Macam-macamlah yang terhadir. Mencelahkan juga suatu pesan. Pesanan lama dulu, daripada arwah ayahanda yang kini sudah melewati dua belas kali Eidulfitri kembali kepada-Nya. Masih saya ingat pesannya itu: ketika malam raya, dalam sibuk-menyibuk menyediakan pelbagai juadah, janganlah sekali-kali lupa, takbir banyak-banyak, sebanyak mungkin sehinggalah tiba waktunya solat sunat Aidilfitri. Segera tertayang kalibat Ayah, yang munajatnya tidak pernah kurang. Tiap kali menjelma pagi satu Syawal, dialah orangnya yang sibuk mempastikan anak-anaknya bangun awal dan paling awal pula menginjakkan kaki di Surau Chek, yang letaknya hanya empat lima jengkal mencecah bumbung rumah kami di Pulau Musang. Di waktu itu, ketika masih belum lepas bangku sekolah, setiap pagi satu Syawal selepas sarapan, saya bersama Pak Din dan Aweng ke surau bersama ayah bertakbir sehingga solat sunat didirikan.

Malam raya kali ini, di Cobridge. Maghrib, jemaah bersama famili. Sesudah Isyak, berkumpulan dengan rakan-rakan.

Sewaktu tertunai Subuh satu Syawal, pesan arwah ayah tidak terlupakan. Saya tunai termampu mungkin. Dan kami sekeluarga merasainya betapa kebahagiaan dan kenikmatan hari lebaran tertambah jua olehnya.

satu hari di hari raya
aku menangis tanda gembira
aku menangis tanda kucinta
kepada-Nya

RAYA TAHUN INI MERIAHNYA BEGITU TERASA.
Tahun sudah (tahun pertama mastautin di sini), selepas solat sunat, kami berkunjung ke rumah Saadon dan beberapa rumah Pakistani yang berjiran. Di sebelah petangnya kami bergegas ke Manchester, bertandang ke rumah KM Yaacob, Amran (Penghulu MCCH) dan Hj Jamil di Cheetham Hill.

Keesokannya, ketika gumpalan salju bak putih kapas masih luruh dengan galak, dan di kiri kanan jalan yang agak licin tertimbus rumput dan pohon renek dek salju yang agak tebal, saya bersama KM Yaacob dan Mukmin (pensyarah KUIS) mengunjungi keluarga Dr Daud (pakar jantung HUKM), Khalid dan Effendi di Liverpool.

Kali ini, (tahun kedua di Cobridge), jadual raya kami aturannya berbeza. Raya keenam baru kami bercadang ke rumah KM Yaakob Cheetham Hill, selepas itu ke Lancaster, kemudian akan bersama Dr Salleh dan Dr Suhaimi berkunjung ke Oxfordshire menghadiri rumah terbuka Hamidi Rahman, Presiden Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom (PMMUK).

Lainnya lagi, raya kali ini dimeriahkan oleh kehadiran lebih ramai keluarga Melayu di Stoke-on-Trent, dan dapat pula berpakat saling berkunjung ketika hari lebaran.

Hari terakhir Ramadhan, rumah kami dikunjungi Dr Suhaimi dan keluarganya dari Lancaster. Dia dan isterinya Azlina serta anak-anak mereka - Izzat, Azim dan Sara - bermalam di Grove Street. Anak-anak begitu gembira kerana punya teman bermain dan bergelak ketawa. Yang Tersayang pun serupa cerianya kerana punya kawan yang sama-sama bergandingan di dapur menyediakan masakan istimewa untuk hari lebaran: nasi dagang, acar timun campur lobak, berlauk kambing masak merah, dan ayam tikka masalla. Ayam dan kambing itu, Dr Suhaimi yang sponsor.

BELALANG YANG ASING, DI PADANG YANG TERASING.
Kami – saya, Dr Suhaimi dan Izat – solat sunat Eidulfitri di Masjid Madina, Cobridge. Masjid ini asalnya rumah dua tingkat punya enam bilik yang diubahsuai dan ditokok-tambah. Pengurusannya dikendalikan jemaah tabligh Pakistan yang tinggal di sekitar Cobridge. Imran, imam utama Masjid Madina, pernah tiga empat kali mengunjungi rumah saya bersama dua tiga orang ahli jemaah tabligh. Mahu dipikatnya menyertai ‘program keluar’ mereka. Walaupun saya tidak memberikan respon yang positif, ‘orang-orang masjid’ sekali-kala berkunjung juga ke rumah, bercakap tentang dakwah dan tanggungjawab sebagai muslim.

Operasi Masjid Madina bergantung sepenuhnya kepada sumbangan tiap minggu oleh dua puluh satu orang penderma tetap. Salah seorang daripadanya Mr Maqbool, pemilik supermarket yang terletak di tepi Waterloo Road (jalan besar yang menghubungkan Hanley-Burslem-Tunstall).

Kaedah bersolat sunat Eidulfitri di Masjid Madina, berlainan dengan amalan lazim yang bisa diketemu di tanahair. Pada rakaat pertama empat kali takbir. Manakala rakaat yang kedua pula hanya tiga kali takbir, yang dilakukan selepas bacaan al-Fatihah dan surah ad-Dhuha.

Tiada takbir beramai-ramai dilakukan sebelum solat. Yang ada tazkirah hampir sejam dalam bahasa Urdu. Yang ketara berbeza ialah pembayaran zakat fitrah boleh ditunaikan buat kali terakhir sebaik sahaja selepas solat sunat Eidulfitri.

Lainnya lagi: pada malam-malam Ramadhan, ketika pagi satu Syawal, dan bila-bila pun, orang perempuan tidak berjemaah di masjid ini. Tidak dibenarkan sebenarnya. Pernah sekali saya ajukan soalan kepada seorang kenalan bangsa Pakistan tentang kemungkinan wanita dibenarkan berjemaah di masjid. Jawapannya pendek. “Not Necessary!”

Uh, padang yang asing, bukan sekadar belalangnya lain, malah lakunya juga di luar kelaziman kita!

HARI RAYA. PAKAI BAJU BARU. LAWA BERGAYA.
Dek-dek, Syai dan Ney-ney pakai baju Pakistan – shalwar kameez, dibeli Yang Tersayang di Tunstall (bandar berdekatan Burslem). Bekalan baju kurung bukan sahaja tidak mencukupi, malahan tidak relevan pula dalam cuaca sejuk beku begini. Lagipun anak-anak sudah besar panjang. Tinggi Syai dan Dek-dek (belum masuk High School) sudah mencecah lima kaki, dan badan pun nampaknya makin berisi. Sudah anak dara sunti mereka. Baju kurung tiga empat pasang yang dibawa tahun lepas sudah tidak muat lagi. Sekak dan sendat.

Begitu juga dengan yang tersayang, walaupun potongannya kini agak slim, dia juga memilih untuk bergaya dengan baju Pakistan. Satu ditempah jahit dengan Roxana yang tinggal di Elms Street. Manakala sepasang lagi dibeli di Hanley.
Ah, mana mungkin bergaya di hari lebaran pakai kebarung lama raya tahun sudah!

Dengan shalwar kameez warna biru kehitaman, dikenakan pula selendang wardina warna kekuningan hadiah daripada Kak Dah (dipos dari Pulau Musang), anggun sekali dia di Raya pertama.

satu hari di hari raya
kulihat wajah suci ibuku
kulihat wajah kasih ayahku
kugembira
oh, beginilah dia kebahagiaan

Ugh, imbas kembali lagi.
MALAM. HARI AKHIR RAMADHAN.
Menefelon Bonda. Tidak bicara panjang dengannya. Suaranya tersekat dan terlekat dek ombak sebak yang memukul dada. Gagang telefon berganti tangan. Suara Ilya, Cik Nora, Abang Man, Pok Heng, Kak Dah, Kak Nafisah, Cik Ngah, Kak Ma dan Aweng berbalasan salam, menyampaikan rasa kasih tanpa sempadan. Ketika itu, mereka sedang bersiap-siap ke Surau Chek. Sudah beraya mereka di Tanah Bonda.

ESOKNYA.
Saya terjaga agak awal daripada biasa. Pukul dua sudah terkebil-kebil bangun termangu dalam suhu gelongsor di paras negatif tiga darjah Celsius. Saya bermimpi arwah ayah dan atuk saya berkunjung ke rumah nenek di Kubang Kekura. Saya tidak tahu apa maknanya atau alamat apakah itu. Ah, buat apa mahu ditafsir. Mimpi hanyalah mainan tidur. Lagipun, mimpi itu tiada istimewanya. Mimpi yang satu ini bukan kepunyaan seorang sufi.

Tuhanku. Aku panjatkan doa. Semoga roh ayah dan atuk ditempatkan-Nya bersama-sama orang-orang yang diredhai kehidupannya di dunia dan di akhirat. Ameen.

TERIMA KASIH ATAS KIRIMAN KASIH.
Telefon lagi ke Pulau Musang. Giliran ucapan Eidulfitri di hari raya pertama di Cobridge pula. Atas rasa sayang yang terkembang mekar dan ingatan kasih yang berkekalan, saya dan famili bergiliran mengutuskan salam Eidulfitri kepada Chek, Cik Ngah, Cik Ros, Kak Dah, dan Cik Nora. Menyatakan penghargaan atas kiriman keropok, serunding dan kuih-muih. Habis belaka sebelum habis Ramadhan lagi! Popia mini yang tersimpul riben itu, habuknya sahaja yang masih berbaki dalam tupperware.

AL-KAUTSAR.
Bagi saya dan famili di sini, mana mungkin akan mengalami semua itu jika tidak dengan izin-Nya. Kita mencari. Kita berusaha. Kita membuat pilihan. Kita bertawakkal. Dia yang menentukan. Itu suratan takdir-Nya.

Maka pada satu hari yang bernama kemenangan dan kemuliaan ini, siapa pun kita dan di mana jua berada, samalah-samalah bermunajat tanda kesyukuran akan nikmat-nikmat kurniaan-Nya yang tidak terhitung.

Ingatlah kita akan mesej yang terkandung dalam dua ayat awal al-Kautsar:

Tentang nikmat-Nya yang tak terkira, dan suruhan mendirikan solat serta berkorban kerana-Nya.

Satu hari di hariraya, ketika mentari sejuk di Cobridge, meriah eidulfitri menghangatkan sausana.

Permisi. Wassalam.

Diucapkan salam eidulfitri kepada sekalian kenalan di alam siber yang rajin menjenguk blog saya. Terima kasihlah hati atas cakna dan masa yang diluangkan. InsyaAllah, ada celahan ruang kita ketemu jua dalam kesibukan beraya. Yang hampir pasti, selepas ‘kendur demam eidulfitri’ kita bisa masuk gelanggang siber dengan ghairah yang baru dan rancak yang bergaya. Insyaallah bisa ketemu lagi.

lemang masih di dalam buluh,
ketupat masih di atas dapur,
al-Quran & Sunnah jadikan penyuluh,
atas nikmat-Nya kita bersyukur.



foto 1: Pakcik Shamsuddin (ayah Dr Salleh meriba Aiman – cucu pertama).
foto 2: Bersiap untuk ke Manchester dengan Proton Catalyst. Ini waktu kali pertama raya di Cobridge.
foto 3: Ugh, salwar kameez terlindung dek baju tebal.

2 ulasan:

  1. saya serono membaca catatan hidup tuan..

    BalasPadam
  2. terima kasih kepada tuan jugak kerna sudi menziarah. moga beroleh manfaat.

    BalasPadam